Politik

PRK Slim ujian buat Perikatan Nasional

BARISAN Nasional (BN) telah mengumumkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River yang akan berlangsung pada 29 Ogos ini.

Iaitu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz.

Pengumuman dibuat Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad di Felda Residence, Trolak.

Berusia 43 tahun, Mohd. Zaidi merupakan anak tempatan dan pemegang ijazah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau yang merupakan seorang peniaga menjawat jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian sejak 2018.

Aktif dalam politik serta aktiviti kemasyarakatan, Mohd. Zaidi merupakan Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) sejak tahun lalu.

Beliau mula membabitkan diri dalam politik pada tahun 2000 sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Slim Village dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian sebelum memegang jawatan timbalan pada tahun 2018.

Sejurus itu Parti baharu yang diterajui bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon.

Amir Khusyairi, 38, bertanding atas tiket calon Bebas.

Perkara itu diumumkan pada Majlis Memperkenalkan Calon di Slim River malam ini yang dihadiri Dr. Mahathir.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Amir Khusyairi merupakan anak jati Perak.

Beliau yang fasih dalam tiga bahasa termasuk Arab mempunyai dua firma guaman di Perak dan Selangor.

Kariernya sebagai Peguam Syarie dan Peguam Bela bermula sejak 2007.

Beliau turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dengan memberikan klinik guaman secara percuma.

Dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan agama, beliau anak kepada bekas Naib Kadi Teluk Intan dan pesara guru agama, Allahyarham Mohamad Tanusi Maulut.

Pilihan raya kecil berkenaan diadakan setelah penyandang dari BN Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai lalu.

BACA> PH beri laluan kepada kem Dr. M bertanding di PRK Slim

Di atas kertas Slim merupakan kubu kuat BN. Mohd Khusairi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti selesa 2,183 pada pilihan raya lalu.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu beliau memperolehi 8,327 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH)  yang mendapat 6,144 undi. Calon Pas pula 4,103 undi.

Kali ini pertembungan dijangka dua penjuru dan jika digabung undi Pas dan BN sahaja yang kini bergabung di bawah Muafakat Nasional (MN) dengan mudah lebih 12,000 undi diperolehi.

Jadi BN sepatutnya memperolehi undi yang lebih besar kerana mereka di dalam saf yang sama iaitu di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Bersatu.

Walaupun Bersatu mengalami krisis pada masa ini hingga membawa kepada Dr. Mahathir menubuhkan parti baharu iaitu Pejuang, tetapi ia tidak akan memberi kesan yang terlalu besar.

Rakyat selesa dengan kerajaan PN yang lebih prihatin dengan masalah rakyat dan pada masa yang sama terbukti berjaya menangani pandemik Covid-19.

Dr. Mahathir pastinya tidak menjangkakan kemenangan berpihak kepada mereka, tetapi hanya berusaha untuk mengurangkan majoriti lawan dan pada yang sama menimbulkan rasa gusar kerjasama di dalam PN.

Kerajaan PN ditubuhkan apabila kerajaan PH runtuh setelah Dr. Mahathir sendiri membawa keluar Bersatu dari PH.

Dr. Mahathir bagaimanapun kemudiannya keluar dari Bersatu dan menyertai DAP serta PKR di dalam PH.

UMNO dan Pas akhirnya bekerjasama dengan Bersatu serta serpihan PKR, bagi membentuk kerajaan PN dan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Jadi agak menarik apabila tiga presiden parti tonggak PN iaitu Muhyiddin, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkempen di atas pentas yang sama.

Sama-samalah kita saksikan impaknya nanti. – SM

 

(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button