Ekonomi

Kuching adalah destinasi pelancongan termurah di Malaysia

Platform pelancongan digital Agoda mengumumkan senarai destinasi pelancongan dengan purata kadar penginapan termurah bagi memudahkan para pelancong merancang percutian mereka di hujung minggu yang panjang dan cuti umum yang akan menjelang.

Pelancong yang inginkan tawaran terbaik di Asia harus mempertimbangkan Udon Thani, Thailand. Manakala di Malaysia, Kuching, Sarawak menawarkan kadar bilik yang paling kompetitif untuk pelancong pada bulan April dan Mei.

Menjelang bulan April dan Mei yang sarat dengan cuti umum, Agoda mengongsikan senarai destinasi pelancongan Asia yang paling popular dengan tawaran bernilai hebat.

Di Malaysia,Kuching terus kekal sebagai juara bertahan sebagai destinasi pelancongan termurah, kini
menawarkan purata kadar bilik yang lebih rendah iaitu RM 230 berbanding dengan RM282 pada tahun lepas.

Destinasi dengan purata kadar penginapan termurah merentas lapan pasaran Asia ialah Udon Thani di Thailand, Surabaya di Indonesia, Hue di Vietnam, Kuching di Malaysia, Iloilo di Filipina, Bengaluru di India, Narita di Jepun dan Kaohsiung di Taiwan masing-masing.

Naib Presiden Bersekutu Asia Tenggara di Agoda, Enric Casals, berkata: “Menjelangnya cuti umum yang dinanti-nantikan di seluruh Asia seperti Songkran, Hari Raya dan Hari Pekerja, April dan Mei adalah masa yang sesuai untuk keluar bercuti.

“Selaras dengan misi berterusan Agoda untuk membantu pelancong mengembara dengan lebih murah, kami kongsikan senarai destinasi termurah terkini, tepat pada waktunya bagi tempoh percutian yang popular tersebut.”

Walaupun destinasi pelancongan ini menawarkan purata kadar bilik terendah, tempat-tempat ini juga mempunyai banyak tarikan untuk dinikmati oleh para pelawat.

Antara tarikan di lapan destinasi pelancongan termurah tersebut adalah suasana bandar Bengaluru dan Kaohsiung yang meriah, serta persekitaran tepi sungai di Hue dan Kuching yang menenangkan:

1. Udon Thani, Thailand (Purata kadar bilik: RM132)
Udon Thani merupakan salah sebuah daripada empat bandar utama di wilayah Isaan Thailand dan ia adalah sangat berbaloi untuk dikunjungi. Bandar ini sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti liburan, terutamanya di Taman Nong Prajak dan persekitaran tasiknya.

Bersiar-siar di boulevard untuk melawat tarikan utama seperti Chinese Gate dan Muzium Bandar Udon Thani.

Udon Thani mudah diakses melalui lapangan terbangnya. Pelancong antarabangsa juga mudah mengunjungi Udon Thani dari Vientiane, ibu kota Laos yang terletak hanya di seberang Sungai Mekong.

2. Surabaya, Indonesia (Purata kadar bilik: RM 83)
Surabaya, metropolis Indonesia yang semakin meningkat naik di Jawa Timur adalah sebuah bandar pelabuhan yang maju. Ia menampilkan kedua-dua seni bina warisan dan juga bangunan pencakar langit futuristik. Dengan adanya pengaruh Jawa, Cina dan Arab, bandar ini menjanjikan sebuah pengalaman budaya yang amat menarik. Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Pasar Atom yang menawarkan beraneka jenis kraftangan tradisional dan pastikan anda mencuba kelazatan makanan tempatan seperti Lontong Balap dan Sate Klopo.

3. Hue, Vietnam (Purata kadar bilik: RM202)
Terletak di tengah Vietnam, Hue adalah bekas ibu kota empayar Dinasti Nguyen yang kaya dengan sejarah dan budaya, Ia terkenal dengan mercu tanda bersejarah termasuk Imperial City, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang lengkap dengan istana dan rumah berhala yang tersergam indah. Para pelawat ke bandar ini boleh menaiki bot di sepanjang Sungai Perfume untuk menikmati pemandangan bangunan dengan seni bina yang unik. Ia merupakan sebuah destinasi di Vietnam yang harus dilawati.

4. Kuching, Malaysia (Purata kadar bilik: RM 230)
Kuching, ibu negeri Sarawak di Malaysia bukan sahaja terkenal dengan kemeriahan bandarnya yang unik tetapi juga keindahan alam semula jadi yang menakjubkan. Bandar ini terletak di tebing Sungai Sarawak di Pulau Borneo. Kuching merupakan sebuah hab seni dan kraf. Anda boleh mendapatkan cenderahati dan segala keperluan kraf anda di Bazar Utama, Jalan Carpenter dan Pasar Minggu. Para pencinta alam semula tidak harus lepaskan peluang untuk mengunjungi Taman Negara Bako yang terkenal dengan hutan hujan, pelbagai hidupan liar dan juga pantai yang indah.

5. Iloilo, Filipina (Purata kadar bilik: RM 235)

Disebabkan lokasinya yang terletak di tengah-tengah kepulauan Filipina, Iloilo sering digelar sebagai ‘Jantung Negara Filipin’. Di sini terdapat sebuah gugusan yang dipanggil ‘Islas de Gigantes’; yang pastinya akan mencuri hati setiap pengunjung dengan pantai yang indah, lagun tersembunyi dan juga makanan laut yang segar! Terkenal dengan mercu tanda bersejarahnya, Iloilo juga merupakan destinasi popular di kalangan penggemar sejarah. Ia mudah dikunjungi dengan menaiki feri dari Bacolod.

6. Bengaluru, India (Purata kadar bilik: RM 259)
Bengaluru, 'Lembah Silikon India', adalah bukan sekadar sebuah hab teknologi yang semakin meningkat naik. Ia juga menampilkan tarikan sejarah dunia lama dan dunia moden India di satu tempat. Walaupun budaya tempatan dipengaruhi oleh inovasi masa kini, masih terdapat banyak tempat bersejarah yang harus dikunjungi seperti Istana Bangalore yang tersergam indah atau Kuil Nandi abad ke-16. Satu lagi sebab utama anda harus melawat Bengaluru adalah untuk merasai sendiri kehebatan masakan India Selatan yang terkenal di sini.

7. Narita, Jepun (Purata kadar bilik: RM 334)
Perkara pertama yang terlintas di fikiran mengenai Narita mungkin adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Narita yang menjadi pintu masuk ke Tokyo. Namun, Bandar Narita, di Wilayah Chiba Jepun, mempunyai lebih banyak tarikan selain daripada hab pengangkutan utamanya di Jepun. Antara tarikan Narita yang harus dikunjungi adalah Kuil Shinshoji, Jalan Naritasan Omotesando tradisional dan keindahan musim bunga sakura.

8. Kaohsiung, Taiwan (Purata kadar bilik: RM 475)
Bandar kedua terbesar di Taiwan, Kaohsiung mesti ditambah ke dalam rancangan percutian anda semasa di Taiwan. Bandar ini mudah diakses melalui lapangan terbang antarabangsa dan kereta api berkelajuan tinggi ke Taipei dan Taoyuan. Setibanya di sana, anda harus mengunjungi kawasan Yancheng, sebuah tempat yang hebat untuk bersiar-siar, menyaksikan seni jalanan, serta membeli-belah di gudang-gudang di pelabuhan. Jika anda sedang merancang untuk bercuti ke Kaohsiung, apa kata anda tinjau dahulu persembahan yang bakal dianjurkan di ‘Big Egg’, Arena Kaohsiung. Tapak hiburan ini boleh memuatkan hampir 85,000 peserta dan baru-baru ini telah menjadi pentas konsert bintang antarabangsa seperti Coldplay dan Blackpink.

Selain daripada menyenaraikan destinasi yang termurah, Agoda juga menawarkan tawaran bernilai hebat bagi penginapan, penerbangan dan aktiviti liburan untuk membantu para pelancong bercuti dengan lebih berhemat. – SM

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button