Politik

PRK Slim: Najib tanya Kit Siang siapa yang kena pukulan KO

BAK memulangkan paku buah keras, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak bertanya kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang siapa yang kena pukulan KO berikutan kemenangan Barisan Nasional di PRK Slim semalam.

Menurut Najib, minggu lepas Kit Siang yang digelarnya Menteri Hal Ehwal Najib (MenHEN) telah membuat kenyataan media bahawa PRK Slim merupakan ujian ke atas dirinya.

Najib berkata, Kit Siang dalam tulisannya mendakwa jika BN kalah atau prestasi tidak elok di PRK Slim bermakna Rakyat sudah tolak dirinya.

“Ini seperti di PRK Sandakan awal tahun lepas apabila dia kata kekalahan parti PBS merupakan pukulan KO (pukulan maut) terhadap saya walaupun saya hanya bantu berkempen setengah hari sahaja di sana.

“Dengan sokongan rakyat semua bangsa yang sudah sedar geng Uncle Lim amat gagal, penyangak terowong ajaib dan merupakan penipu bersiri, BN menang besar di PRK Slim semalam.

“So, sekarang saya nak tanya ayah Guan Eng keputusan PRK Slim bermaksud rakyat sudah tolak siapa dan ianya pukulan KO bagi siapa?” tanya Najib.

Kit Siang yang juga Penasihat DAP dalam blognya Selasa lalu berkata, PRK Slim menjadi medan pertempuran mencari jiwa Malaysia di antara prinsip-prinsip Rukunegara dan ‘Malu Apa Bossku?’.

Kit Siang turut mendakwa Najib menggunakan PRK Slim sebagai tempat uji kaji pertama kempen besar-besaran ‘Malu Apa Bossku?’.

“Namun PRK Slim yang bakal berlangsung pada hari Sabtu merupakan PRK pertama selepas bekas Perdana Menteri tersebut disabitkan bersalah.

“Dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun berserta dengan denda sebanyak RM210 juta ke atas ketujuh-tujuh pendakwaan atas kesalahan penyalahgunaan dana SRC International yang bernilai RM42 juta yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kini, Najib kelihatan seakan-akan menggerakkan keseluruhan kempen PRK di Slim River dan kemenangan untuk UMNO di Slim akan dilihat sebagai kemenangan untuk kempen ‘Malu Apa Bossku’ ini, dan kemenangan UMNO dalam PRK Slim ini kelihatan seperti sesuatu yang telah pun ditakdirkan,” tulis Kit Siang.

Pada Pilihan Raya Kecil Sandankan, Kit Siang berkata, kemenangan DAP pada PRK Sandakan adalah “pukulan maut” kepada Najib.

Menurutnya, kemenangan Vivian Wong sekali gus melenyapkan tiga kekalahan dialami Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

“Dan ini merupakan satu pukulan maut kepada kempen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak” Malu Apa Bossku “yang tidak tahu malu,” kata Kit Siang.-SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button