PRK

PRK Slim: Hari pengundian bermula pagi tadi

PENGUNDIAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berlangsung hari ini dalam kebiasaan baharu ekoran penularan wabak Covid-19.

Sebanyak 12 pusat mengundi dengan 54 saluran dibuka mulai pukul 8 pagi tadi hingga 5.30 petang nanti.

Memetik laporan BERNAMA, proses pengudian selama 9 jam setengah itu melibatkan 22,749 pemilih berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab mereka.

Daftar pemilih DUN Slim merangkumi 267 pengundi awal dan 78 orang mengundi secara pos. Seramai 689 petugas dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian PRK DUN Slim.

Sementara itu, 12 pusat mengundi yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRK kedua dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lepas.

Sepanjang proses pengundian, pematuhan garis panduan pencegahan COVID-19 dilaksanakan SPR seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

PRK Slim hari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru: calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru S. Santharasekaran.

Ketiga-tiga calon yang bertanding itu bagaimanapun tidak mengundi di DUN berkenaan.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Pada PRU14, Mohd. Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai 33 kerusi terdiri daripada BN (25) yang kesemuanya UMNO, Bersatu (lima), PAS (tiga) manakala blok pembangkang terdiri daripada DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga) dan Gerakan (satu).

Bebas mempunyai satu kerusi yang menyokong kerajaan PN negeri. – SM

 

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button