Nasionalpilihan

Penduduk kecewa LPM tukar status rumah kos rendah di Pulau Gadong

Penduduk yang berhasrat ingin membeli rumah kos rendah di Pulau Gadong dekat sini kecewa apabila projek milik Lembaga Perumahan Melaka (LPM) masih belum dibina sejak 15 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Klebang Besar, Datuk Mohd, Yusof Abu Hasan berkata, penduduk menyuarakan rasa kecewa melihat tanah seluas 1.09 hektar dipenuhi
semak samun tanpa sebarang tanda-tanda pembinaan akan dimulakan.

Lebih mengecewakan katanya, projek yang akan dihidupkan semula itu sudah bertukar status daripada rumah kos rendah berharga kurang daripada RM50,000 kepada rumah mampu milik (RMM) bernilai lebih daripada RM200,000.

“Selepas 15 tahun baru dapat tahu projek ini akan dimulakan tetapi 150 unit rumah yang akan dibina bukan kos rendah sebaliknya ditukar kepada RMM.

“Ini benar-benar mengecewakan penduduk yang rata-rata memohon untuk membeli rumah tersebut kerana harga di bawah RM50,000 tetapi kita difahamkan LPM telah melantik sebuah syarikat pemaju untuk membina RMM.

“Sudah tentu dalam kalangan penduduk yang tergolong sebagai B40 tersentak apabila mendapat tahu projek yang terletak bersebelahan Taman Gadong Perdana tidak mampu untuk dibeli mereka,” ujarnya di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd. Yusof meminta LPM untuk mengkaji semula pertukaran status rumah berkenaan agar membolehkan pembeli daripada golongan B40 dapat memilikinya.

Katanya, sepatutnya LPM berperanan membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman untuk terus membina projek rumah kos rendah.

“LPM bukannya agensi yang mencari keuntungan, tapi untuk bantu rakyat dan dasarnya untuk majukan tanah dengan rumah-rumah kos rendah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Rahman Osman, 74, berkata, melahirkan rasa kecewa kerana sudah menunggu hampir 15 tahun rumah kos rendah yang dijanjikan oleh LPM masih belum dibina hingga sekarang.

“Saya harap kerajaan negeri dapat menunaikan hajat penduduk di Klebang agar rumah kos rendah yang dijanjikan akan dibina untuk membangunkan semula projek ini,” ujarnya.

Katanya, dia rasa terkejut apabila dimaklumkan status rumah tersebut sudah ditukar kepada RMM dan keadaan itu menyebabkan penduduk berpendapatan rendah tidak mampu untuk membelinya.

Bagi Sidang Kampung Tengah, Hamzah Ibrahim, 58, melahirkan rasa kecewa jika benar LPM telah menukar status rumah berkenaan.

Jelasnya, penduduk di Klebang yang masih belum memiliki rumah sendiri benar-benar terkejut dengan tindakan LPM kerana mereka sudah menunggu hampir 15 tahun untuk membeli rumah kos rendah
seperti yang dijanjikan.

“Saya harap kerajaan negeri untuk campur tangan dan menghidupkan semula projek rumah kos rendah dan tidak menukarnya kepada RMM,” ujarnya. – SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button