NasionalPolitik

PRK Kimanis: Warisan belum tentukan calon

PARTI Warisan Sabah (Warisan) masih belum menentukan calon yang akan mewakili parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis nanti.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Warisan akan meneliti terlebih dahulu calon sesuai untuk diletakkan bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis termasuk memastikan calon dipilih mampu memberi kemenangan kepada parti.

“Kita tengok dulu siapa akan jadi calon, yang penting calon ini boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Krismas anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia di Kampung Kelatuan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang juga Presiden KDM Malaysia.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, calon Warisan Datuk Karim Bujang yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis tewas tipis 156 undi kepada Datuk Seri Anifah Aman.

Karim kemudiannya memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional, dan kini Suruhanjaya Pilihan Raya menunggu perakuan daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mengadakan PRK Parlimen Kimanis yang kosong susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Anifah selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, Shafie berkata Sabah akan membentangkan satu Rang Undang-Undang baharu bagi menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Negeri, susulan pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) oleh kerajaan Sabah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dijangka akan dilaksanakan awal tahun depan.

Katanya, suruhanjaya itu bertujuan memperkasa lagi tahap urus tadbir dalam pengurusan bekalan serta pengedaran gas dan elektrik di peringkat negeri Sabah.

“Ia (Suruhanjaya Tenaga Sabah) akan menentukan tentang bagaimana pengurusan harga (elektrik serta gas) dan penentuannya (harga dan kadar) tertakluk kepada suruhanjaya ini nanti,” tambahnya.

Mohd Shafie berkata penubuhan suruhanjaya tenaga Sabah itu penting memandangkan bidang kuasa pengurusan SESB akan tertakluk kepada kerajaan negeri selepas proses pengambilalihan syarikat utiliti itu selesai. – BERNAMA

(Visited 69 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button