Nasional

Rejimen 504 Askar Wataniah sahut cabaran Penanaman 100 Juta Pokok

Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia merupakan agensi pertama di negeri Perlis yang menyahut cabaran bagi melaksanakan ‘Kempen Penghijauan Malaysia : Penanaman 100 Juta Pokok’ yang merupakan salah satu agenda utama negara yang diterajui oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan disokong oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri selepas negeri ini telah beralih kepada Pelan Pemulihan Negara Fasa II bermula pada 9 Julai 2021 baru-baru ini.

Dalam usaha menggiatkan penglibatan semua pihak, sebanyak 140 pohon pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri dan juga Jabatan Pertanian Negeri ditanam sendiri oleh para anggota rejimen berkenaan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan sejak beberapa hari yang lalu di dalam Kem Bukit Keteri, Beseri.

Demikian dimaklumkan oleh Timbalan Komander rejimen tersebut Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak selepas mengiringi Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang telah berkenan meluangkan masa singgah menanam sepohon Pokok Merbau yang merupakan pokok kebangsaan sebagai simbolik pelaksanaan inisiatif itu sempena keberangkatan rutin ke pejabat baginda selaku Tuanku Komander di kem tersebut pada petang semalam.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni yang meninjau kerja-kerja yang telah dilaksanakan memaklumkan yang setakat 30 Jun 2021, sebanyak 144,684 pokok telah ditanam di seluruh negeri Perlis berbanding sasaran penanaman sebanyak 200,000 pokok untuk negeri ini bagi tahun 2021 dan sasaran 1 juta pokok sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurut beliau, ‘Kempen ‘Penanaman 100 Juta Pokok’ ini penting untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang penjagaan alam melalui penanaman pokok dan seterusnya menggalakkan penyertaan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, syarikat swasta dan badan korporat, badan bukan kerajaan, institusi-insitusi pendidikan dan penyelidikan dan orang awam dalam usaha penanaman pokok.

Tambah Ag. Shaffie, ‘Selain itu, tujuan penanaman ini juga adalah supaya dapat memastikan litupan hijau dan hutan negara mencapai sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara seperti komitmen Malaysia semasa ‘Sidang Kemuncak Bumi’ di Rio De Janerio pada tahun 1992’.

Timbalan beliau Fadhilah Mohamad pula menambah bahawa antara jenis pokok yang ditanam di dalam kawasan ‘Laman Woodball K3 Hill’ serta di sekeliling kem pasukan sukarela simpanan berkenaan bertujuan untuk menghijaukan kawasan dan seterusnya menjadi tempat teduhan adalah daripada spesies hutan seperti pokok Merbau (Intsia palembanica), Meranti Temak Nipis (Shorea roxburgii), Keruing Belimbing (Dipterocarpus grandiflorus), Mohagony (Khaya senegalensis), Karas (Aquilaria malaccensis), pokok buah-buahan seperti Mangga Harumanis MA128 (Mangifera Indica L), Nangka Mastura J37 (Artocarpus heterophyllus), Mesta GA2 (Garcinia mangostana) dan Durian Duri Hitam D200 (Durio zibethinus).

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda mewakili rejimen tersebut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Ke 64 pada 15hb Julai 2021 kepada seluruh warga Kor Perkhidmatan DiRaja (KPD), Kor Ordnans DiRaja (KOD) serta Kor Jurutera Letrik Dan Jentera DiRaja (KJLJD) dalam Tentera Darat Malaysia.

(Visited 730 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button