Nasional

Terowong dasar laut: Tiada tindakan pihak berkuasa terhadap Abdul Azeez

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak dikenakan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa susulan notis tuntutan yang mendakwanya bersubahat dengan seorang individu bagi memperoleh RM3 juta berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Beliau berkata notis tuntutan yang dikeluarkan oleh syarikat pemaju projek mega itu, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, telah ditarik balik dan seterusnya kes itu sudah pun selesai.

“Akhirnya kes itu dibuang, saya tidak ditahan sebaliknya orang lain yang ditahan untuk disiasat,” katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakilinya berhubung apa akhirnya yang terjadi kepada notis tuntutan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes saman difailkan olehnya terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kenyataan dalam isu pembinaan projek terowong dasar laut di negeri ini.

Dalam keterangannya, bekas Pengerusi Tabung Haji itu turut bersetuju dengan cadangan Jahaberdeen bahawa langkah pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadapnya menunjukkan yang beliau tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa.

Bagaimanapun, Abdul Azeez tidak bersetuju dengan cadangan peguamnya bahawa susulan beliau tidak ditahan memberi mesej kepada orang awam yang dirinya tidak bersalah.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N. Mureli yang mewakili Guan Eng, Abdul Azeez tidak bersetuju dengan cadangan Mureli bahawa kenyataan yang dikeluarkan defendan hanya mempersoalkan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak merosakkan reputasinya.

Mengenai soalan sama ada kenyataan defendan itu menyebabkannya kehilangan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, Abdul Azeez bersetuju yang kenyataan itu telah mempengaruhi undi terhadapnya.

“Semua kenyataan yang menyinggung dapat dilihat kesannya pada pilihan raya umum yang lepas. Saya terpaksa menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat yang bertanya tanpa henti,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop bersambung 9 Dis ini.

Pada Mac tahun lepas, Abdul Azeez memfailkan saman itu dengan mendakwa Guan Eng mengeluarkan dua kenyataan fitnah masing-masing pada sidang media di pejabat Ketua Menteri di Komtar pada 28 Feb, 2018 dan pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada tarikh sama yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Abdul Azeez selaku plaintif mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan berkenaan telah menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain turut memohon satu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan.

Beliau juga memohon injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.– BERNAMA

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button