
PRIME Dilancar: MCMC Perkukuh Kesiapsiagaan Komunikasi Hadapi Bencana
CYBERJAYA, 16 Jun 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan inisiatif terbaharu, Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.
Peluncuran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, yang menyifatkan PRIME sebagai langkah strategik Kementerian Komunikasi untuk memastikan “ketersambungan tanpa batasan” dalam operasi bantuan dan penyelamatan, terutama di kawasan yang terputus rangkaian.
“PRIME membuktikan komitmen kerajaan untuk membina sistem komunikasi bencana yang fleksibel, stabil dan berdaya tahan, demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.
Teknologi Mobiliti Komunikasi Canggih
PRIME merupakan sistem komunikasi berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi serta dron. Ia direka sebagai sokongan interim komunikasi bagi memastikan maklumat, arahan dan koordinasi antara agensi bencana dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan, termasuk di kawasan terpencil atau terputus hubungan.
Perkukuh Ekosistem Komunikasi Negara
Sistem ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara MCMC dan agensi pengurusan bencana seperti NADMA dan pihak berkuasa tempatan, malah meningkatkan kecekapan tindak balas semasa krisis, di samping memacu keterangkuman digital masyarakat.
PRIME juga akan menyokong aktiviti jangkauan komuniti, khususnya program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan perkhidmatan internet dan aktiviti komuniti dilaksanakan secara langsung di lokasi luar bandar.
“Ia bukan hanya untuk waktu kecemasan, tapi juga alat pemerkasaan komuniti dan pendigitalan desa,” tambah Fahmi.
Tiga Unit PRIME Diperkenalkan
Sebagai permulaan, tiga (3) unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat:
- Unit pertama telah dilancarkan dan akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC, menyokong operasi di Semenanjung Malaysia.
- Dua unit tambahan akan siap menjelang akhir 2025, masing-masing akan ditempatkan di pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.