Sukan

Primax juarai Kejohanan Golf Inter-Team Melaka 2022

MELAKA 21 Mac – Pasukan Primax Golf mengetepikan cabaran 27 pasukan apabila muncul juara di Kejohanan Golf

Inter-Team Melaka 2022 (MITT 2022) yang diadakan di Kelab Golf Tiara & Country di sini semalam.

Primax dianggotai Gwee Li Jun, Firdaus Mustaqim, Ridhwan Johari dan Cornelius Ee muncul juara selepas mengumpul 114 mata. Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Lebih menarik pemainnya, Li Jun pula dinobatkan selaku juara gross apabila melakukan 72 pukulan. Kejayaan itu membolehkan dia menerima sebuah trofi.

Dia menyumbang 42 mata diikuti Firdaus (39), Ridhwan (37) dan Cornelius (35). Hanya tiga pemain mengumpul mata terbaik dikira sebagai pemenang bagi format stabelford system 36.

Ketuanya, Li Jun berkata, kejayaan itu adalah hasil permainan kemas daripada rakan-rakan yang lain untuk menyumbang kemenangan tersebut.

“Lapangan di Tiara ini agak sukar dengan kedudukan pin yang cukup mencabar di Woodlands dan Meadow namun kami dapat bermain dengan baik,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang telah disempurnakan Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Yusof Jantan.

Pasukan dari Port Dickson Golf Club (PDGC A) yang dibarisi Alif Saidin, Muhammad Haziq Aeman, Mohd. Radzi Husin dan Mohd. Rizal Mukhtar muncul naib juara serta menerima hadiah wang tunai RM2,000 selepas keseluruhan mengumpul 113 mata.

Manakala bagi pasukan Buakk dibarisi Zaidan Abeng, Mohd Sani, Lt. Kol. Mohd Nazri dan Mohd. Aidid yang turut mengumpul 113 mata ocb menerima RM1,000

Gandingan Jailani Rahim, Brig. Jen (B) Ismail Mogir, Mejar Razak Abas dan Lt. Jen. Datuk Riduan Baharuddin dari pasukan Kelab Golf Bukit Terendak (KGBT) menduduki tempat keempat menerima RM800 selepas mengumpul
112 mata.

Kejohanan anjuran Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) yang julung-julung kali diadakan itu disertai sebanyak 28 pasukan membabitkan 112 pemain dari Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor selain Melaka. -SM

(Visited 672 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button