Nasionalpilihan

Penjaga kanak-kanak tujuh tahun didera belum dimuktamadkan

Waris yang layak bagi memberi perlindungan sementara kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang Jumaat lalu sudah dikenalpasti tetapi belum dimuktamadkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sudah menyenaraikan siapa yang layak untuk menjaga kanak-kanak malang itu.

“Senarai itu sudah ada tetapi kita belum muktamadkan sehingga bila kanak-kanak itu keluar dari hospital barulah kita akan muktamadkan.

“Buat masa ini kanak-kanak ini masih mendapat rawatan di Wad Pediatrik Hospital Sultan Ismail.

“Dia masih memerlukan rawatan lanjut kerana kesan kecederaan pada tubuh badannya dan kita akan pastikan dia pulih sepenuhnya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya Aiman Athirah Sabu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari.

Mengulas lanjut Nancy berkata, sejak dimasukkan ke hospital pada Jumaat lepas, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil di bawah jagaan rapi pihak hospital dan JKM.

Beliau turut mengakui dalam usia tujuh tahun kanak-kanak itu mengalami trauma akibat penderaan ibu dan rakannya dan usaha giat dijalankan bagi membantu mangsa memulihkan keyakinannya.

“JKM akan sentiasa menjaga mangsa bagi memastikan tiada gangguan lain dan memberi keyakinan kepada mangsa,” ujarnya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disyaki menjadi mangsa dera ibu kandung dan rakannya di kawasan Perumahan Layangkasa, Pasir Gudang, Johor.

Kejadian itu dimuat naik menerusi dua klip video yang masing-masing berdurasi 24 saat dan 32 saat di laman Twitter Cikgu Suraya pada 6.02 petang pada Sabtu.

Sabtu lalu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya warga asing berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera mangsa.

Kamarul Zaman berkata ibu kanak-kanak itu direman enam hari manakala rakannya direman tujuh hari bagi membantu sisatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – SM

 

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button