Belang Bertempat

Masih ‘berebut temiang hanyut, tangan luka, temiang tak dapat’


KAPAL sudah hanyut, nakhoda hilang ditelan badai pun masih anak-anak kapal bercakaran mahu memilih siapa yang akan menakhodai bahtera.

Gelombang semakin mengganas. Malah, yang pelik lagi dua bakal nakhoda dalam kapal masih enggan meminta pertolongan dari sebuah kapal yang lalu berdekatan, sedangkan malapetaka dahsyat sedang menanti.

Bak ‘berebut temiang hanyut, tangan luka, temiang tak dapat’, demikianlah lagaknya tindak tanduk orang-orang PKR dan bekas Parti BERSATU yang masih bercakaran menentukan calon pilihan Perdana Menteri (PM) ke-9 mereka.

Kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik, jawatan PM ke-9 bukan hak mutlak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata bekas menteri pendidikan yang meletak jawatan dalam kerajaan `22 bulan’ kerana `flip flop’ yang membelenggu imejnya, rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) haruslah tidak dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri adalah hak mutlak Anwar Ibrahim.

Kenyataan celupar Maszlee itu dibalas dengan pedas oleh Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Secara sinis, Nik Nazmi berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Maszlee bahawa jawatan tersebut bukan hak mutlak Anwar dan jawatan PM ke-9 juga bukan hak mutlak Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya setuju dengan Dr Maszlee. Jawatan ini juga bukan hak mutlak Tun Dr Mahathir,” kata Nik Nazmi ringkas di Facebooknya.

Lantas sekali lagi, ya sekali lagi ya, ia mengingatkan kita pada adegan-adegan dalam filem arahan Allahyarham P.Ramlee.

Dalam filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959 itu, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S.Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.

Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??
Nyawa: Hentam sajalah…
Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??
Nyawa: Bedal daa…
Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…

Juga, ingatkah lagi kisah 3 Mac 2009 selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak apabila pakatan pembangkang DAP, Pas dan PKR mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bawah pokok, kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.


Maka sekali lagi filem P. Ramlee menjadi rujukan. Memang hebat filem-filem P.Ramlee. Laksamana Do Re Mi yang mengisahkan tiga sahabat menyelamatkan negara Pasir Berdengung yang terpaksa memerintah di bawah pokok. Tetapi sebelum menjadi laksamana, Do Re Mi tinggal di atas pokok, membuat rumah di atas pokok milik orang, bukan di tanah sendiri.

 

Apabila Do Re Mi berdegil tidak mahu berpindah dari atas pokok itu, pemilik tanah mengancam akan menebang pokok itu dan akhirnya Do Re Mi mengaku kalah dan lari seterusnya menjadi laksamana. Kini Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi sudah pun selesai. Begitu juga Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, dan Ali Baba Bujang Lapok sudah berakhir. P. Ramlee juga sudah tiada lagi dan apakah versi baru Do Re Mi atau Bujang Lapok akan kembali dalam kamus pembangkang?

Dengan PH pun sudah bercelaru bab pilih calon PM, inikan pula nanti andai kata menang dan mahu tentukan senarai `kabinet’ dan lain-lain.

Benarlah – mesej-mesej yang terkandung dalam filem P. Ramlee memang tidak luput dek zaman.

Seperti maksud peribahasa yang Belang letakkan ini:

Politik PH Harapan masih berkisar perihal dua orang yang berkelahi (sampai luka-luka) merebutkan sesuatu. Malang, barangnya tidak dapat. – SM

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button