Berita

Presiden Wartawan Multimedia Kecewa KKM Abaikan Sidang Media, Seru Hormati Peranan Media

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2025 – Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap jemputan media yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak menyediakan ruang sidang media mahupun sesi soal jawab dalam acara rasmi kementerian.

Dalam satu kenyataan media tegas, beliau menekankan bahawa media bukanlah musuh, sebaliknya rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan dasar serta maklumat sahih kepada rakyat. Beliau mengingatkan bahawa tugas wartawan bukan hanya untuk hadir dan mengambil gambar, tetapi juga mendapatkan penjelasan serta memastikan maklumat yang diterima rakyat adalah tepat dan jelas.

“Jika media hanya diminta hadir untuk menyalin kenyataan tanpa sesi interaksi, lebih baik kenyataan dihantar terus melalui e-mel. Ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga mengurangkan kos untuk semua pihak,” katanya.

Nik Suryani turut menggesa agar UKK dan Setiausaha Akhbar Menteri diberikan latihan dan kursus berkaitan pengendalian media. Jelasnya, kefahaman yang lebih mendalam terhadap peranan wartawan amat penting dalam memastikan urusan komunikasi antara pihak kerajaan dan media berjalan dengan lebih efektif.

Kenyataan ini mencerminkan kebimbangan komuniti wartawan terhadap kecenderungan sesetengah pihak berkuasa yang dilihat cuba mengehadkan akses media kepada maklumat secara langsung dan telus.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button