Politik

Presiden UMNO sekarang, bukan Presiden UMNO yang dulu

SUATU ketika lagu Aku yang dulu, bukan yang sekarang… nyanyian Tegar, iaitu pelantun dari negara tetangga pernah menjadi siulan peminat di negara ini.

Lagu berkenaan mengisahkan bagaimana kehidupan sebenar Tegar berubah 100 peratus apabila bergelar artis popular.

Daripada seorang penyanyi jalanan yang pendapatannya hanya beberapa sen sehari iaitu hasil ihsan orang ramai, kini mampu hidup senang.

Bagaimanapun bagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, situasinya sebaliknya pula. Jika sejak sekian lama beliau mempunyai ramai teman, tetapi kini ramai yang menjauhkan diri.

Tidak cukup itu suara-suara sumbang turut kedengaran supaya beliau bercuti atau melepaskan jawatan presiden kepada mereka yang lebih berkemampuan serta mempunyai sokongan serta dokongan majoriti ahli UMNO.

Mengapa terlalu gelojoh? Hanya beberapa bulan sahaja lagi UMNO akan mengadakan perhimpunan agung dan pemilihan.

Ketika itu Ahmad Zahid pastinya tidak akan menghalang sesiapa sahaja yang akan menentang beliau bagi merebut jawatan tertinggi parti tersebut.

Pada ketika ini bergeraklah di dalam satu saf dan pada masa yang sama terus perkukuhkan kerjasama UMNO dengan komponen Barisan Nasional (BN) dan Pas di dalam Muafakat Nasional serta menjalinkan hubungan yang lebih jitu dengan Bersatu, GPS serta serpihan PKR yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO sekarang memang tidak berduit. Bukan sahaja akaun parti yang dibekukan, bahkan akaun peribadi beliau juga menjadi sasaran.

Elaun beliau sebagai ahli parlimen sendiri tidak dapat dipakai kerana dimasukkan ke dalam akaun yang dibekukan akibat pertuduhan yang dihadapi di mahkamah.

Oleh itu ramai yang menganggap pertuduhan tersebut yang membabitkan perbelanjaan peribadi Ahmad Zahid dan pengurusan kewangan Yayasan Akal Budi yang juga milik beliau adalah lebih kepada berunsurkan politik.

Wang yang biasanya disalurkan kepada kegiatan dakwah dan kebajikan itu, kini turut terhenti kerana juga berdepan dengan tindakan pembekuan.

Ahmad Zahid bukan sahaja kehilangan kawan, bahkan mereka yang pernah dibantu juga menjadi saksi pihak tertuduh.

Ketika beliau berada di dalam kadang tertuduh kerana berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, rakan-rakan yang tampil memberi semangat boleh dikira dengan jari sahaja.

Sehingga ada yang bertanya apa sudah jadi dengan UMNO? Presiden mereka sedang berdepan dengan dugaan dan cabaran, mengapa mereka tidak hadir memberi semangat?

Begitulah realiti kehidupan. Ramai juga yang mula bercakap bahawa Ahmad Zahid tidak berbuat apa-apa selaku presiden.

Realitinya selaku presiden beliau kini lebih tenang dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada parti kerana tidak dibebani dengan tugas mentadbir negara berbanding ketika menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.

Secara senyap Ahmad Zahid telah menggerakkan Muafakat Nasional yang membuahkan hasil di dalam beberapa pilihan raya kecil mencapai kemenangan dan merupakan punca kebangkitan UMNO yang jatuh tersungkur setelah tewas pada pilihan raya lalu.

Kejayaan demi kejayaan ini mula menutup mulut pengkritik dan ramai yang semakin memahami dah menghormati kaedah kerja Ahmad Zahid.

Presiden UMNO sekarang bukan sebagaimana yang dahulu. Cabarannya sangat besar memerlukan jiwa yang kental serta semangat yang jitu.

Kuasa yang ada juga tidak sejati. Ia perlu ditatang dan dijaga ibarat telur dihujung tanduk. Silap percaturan ia jatuh terhempas dan berkecai.

Ahmad Zahid tidak pernah mundur, beliau terus bekerja demi memastikan parti dan anak bangsa terus terbela dan apabila tiba masa yang sesuai beliau pasti mengundurkan diri, ibarat buah yang masak tidak perlu dijolok ia akan gugur.

Masaknya juga sempurna harum dan manisnya dapat dinikmati semua. – SM

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close
Close