fbpx
Politik

Presiden UMNO beri bayangan tiada dalam senarai Kabinet

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa beliau tidak akan berada dalam senarai barisan Kabinet yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada pukul 5 petang ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, walaupun tidak berada dalam Kabinet dia akan tetap menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan akan membantu beliau.

“Walaupun tidak berada dalam Kabinet, saya akan tetap akan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan bersedia membantu YAB Perdana Menteri untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Semoga hasrat kita bagi mewujudkan بَلۡدَةٞ طَيِّبَةٞ وَرَبٌّ غَفُورٞ dipermudahkan dan mendapat rahmat serta petunjuk daripada Ilahi,” kata Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya pagi ini.

Ahmad Zahid telahpun mengumumkan untuk menawarkan diri agar tidak dilantik sebagai anggota Kabinet sewaktu merasmikan Mesyuarat Persidangan UMNO Cawangan-cawangan dalam Bahagian Bagan Datuk 2020 di Perak baru-baru ini.


Menurut Ahmad Zahid, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira pandangan dan semua faktor tertentu mengikut keadaan semasa ketika ini dan beliau ingin memfokuskan kepada proses membersihkan dirinya di mahkamah tanpa pengguguran kes.

“Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun tuduhan ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih.

“Di samping itu, saya akan memberikan fokus kepada persiapan parti bagi menghadapi PRU ke-15 dan memperkukuhkan lagi agenda Muafakat Nasional yang telah kita terokai bersama PAS sebelum ini,” kata Ahmad Zahid.

Sementara itu beliau berkata, BN telah menyerahkan senarai nama mereka yang difikirkan layak untuk menganggotai Kabinet yang akan diumumkan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, senarai nama yang diberikan mengikut keutamaan berdasarkan kepada hierarki pemegang jawatan-jawatan utama dalam UMNO dan BN.

“Muka-muka baharu, tokoh-tokoh muda, profesional, teknokrat daripada BN dan rakan-rakan BN turut dicadangkan namanya bagi pertimbangan YAB Perdana Menteri.

“UMNO dan Barisan Nasional memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada YAB Perdana Menteri mempertimbangkan dan membuat pelantikan daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber agar hasrat YAB Perdana Menteri mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti tercapai,” kata Ahmad Zahid.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button