Mahkamah

Presiden PKBM mengaku tidak bersalah dua pertuduhan rasuah

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 3 Jun – Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah lebih
RM48,000.

Tertuduh berusia 81 tahun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan oleh
jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badrudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai Presiden (PKBM) untuk
mendapatkan suapan dengan memilih Syarikat Harapan Baiduri Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik anaknya bagi menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga RM12,750.

Kesalahan itu dilakukan menerusi 13 baucer pembayaran mulai tahun 2013 hingga 2018 di Pejabat PKBM Melaka
Tengah dekat sini.


Bagi pertuduhan kedua pula, Abu Samah dituduh memilih syarikat milik adik-beradiknya iaitu Syarikat
Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn. Bhd. untuk membuat sewaan inap desa bagi kegunaan atlet berbasikal dengan
harga sewaan keseluruhan berjumlah RM36,061.85.

Kesalahan itu melalui 32 baucer bayaran mulai tahun 2013 hingga 2018 di mana tertuduh mempunyai
kepentingan bersama adik-beradiknya di dalam syarikat berkenaan.

Atas dua pertuduhan tersebut tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20
tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan berjumlah RM10,000
mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah
mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain meminta tertuduh menyerahkan
pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hakim mengurangkan wang jaminan kepada RM5,000
dengan alasan sudah tua dan telah memberikan kerjasama selama dua tahun berhubung kes tersebut.

Abu Samah turut memohon mahkamah tidak mengambil pasportnya dengan memberi alasan kerap ke luar negara
bagi menghadiri mesyuarat mewakili PKBM.

Nariman dalam penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan pasport diserahkan, namun tertuduh dibenarkan membuat permohonan untuk ke luar
negara bagi menghadiri mesyuarat dengan melampirkan dokumen sokongan sebagai bukti.

Kes disebut semula 14 Julai ini untuk lantikan peguam.

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button