Jenayah

Presiden Parti Politik Di Sabah Dalang Sindiket Janji Beri Kad Pengenalan Palsu

Seorang presiden parti politik di Sabah adalah antara dua individu yang ditahan pada 22 Jun lepas di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan kad data maklumat individu tanpa kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata lelaki terbabit dan seorang lagi individu disyaki memperdayakan mangsa dengan memberi jaminan pemegang kad data berkenaan akan menerima keistimewaan dan kemudahan sama seperti warganegara.

Bercakap pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini, Hamzah berkata beliau menerima maklumat mengenai sindiket itu daripada seorang individu dari luar negara dan kemudian memaklumkannya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata polis kemudian menubuhkan unit khas untuk menjejak sindiket terbabit dan berjaya menahan dua suspek berkenaan di Subang Jaya.

“Kedua-dua individu itu juga memperdayakan mangsa dengan menjanjikan bahawa mereka turut menerima kad pengenalan berwarna biru seperti yang diberi kepada rakyat negara ini selepas segala urusan berkaitan selesai,” katanya.

Beliau berkata lelaki terbabit mendaftarkan parti itu pada 2017 dan menjadi presiden parti berkenaan.

Hamzah berkata berdasarkan siasatan, dianggarkan 400 individu tanpa kewarganegaraan menjadi mangsa sindiket terbabit yang mengenakan bayaran RM500 hingga RM1,000 seorang.

Sindiket itu pada mulanya menyasarkan individu tanpa kewarganegaraan di Sabah dan kemudian meluaskan operasinya ke Semenanjung.

Hamzah berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak tertipu dengan mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan sedemikian kerana kerajaan tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau individu untuk berbuat demikian.

“Hanya Jabatan Pendaftaran Negara boleh mengeluarkan kad pengenalan yang diktiraf oleh kerajaan katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan akan melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan pendatang tanpa iZin selepas Program Rekalibrasi Pulang tamat tengah malam ini.

Beliau berkata program yang dilancarkan pada November 2020 ftu tidak akan disambung dan majikan dinasihat supaya tidak mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen kerana mereka berisiko dikenakan tindakan. – BERNAMA

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button