Pendidikan

Pusat Asasi UiTM teruskan tradisi cemerlang di lapan buah sekolah

Pusat Asasi UiTM meneruskan tradisi cemerlangnya  menerusi program “Exploring English through Community Engagement (EECE)” di lapan (8) buah sekolah rendah terpilih di Putrajaya dan Dengkil pada 21 Februari 2020 yang lalu.

Projek ini melibatkan seramai 2,528 pelajar pra-universiti dari program Sains dan  Kejuruteraan serta 9,741 pelajar sekolah, dalam usaha untuk mencipta rekod dalam  Malaysian Book of Record.

Tanggungjawab Sosial Korporat adalah keperluan sukatan pelajaran yang baru yang  dilaksanakan sebagai pra-syarat kursus Bahasa Inggeris bagi subjek English for Foundation Studies II.

Projek ini berperanan sebagai satu platfom yang ideal bagi pelajar UiTM untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan mengajar Bahasa Inggeris. Ini adalah selaras dengan objektif utama projek ini, iaitu untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar pra-universiti dan sekolah.

Melalui projek ini jugalah mereka belajar kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan. Mereka telah berusaha sehabis baik dalam merancang dan menyediakan aktiviti pengajaran yang menarik dan menyeronokkan.

Untuk meraikan kejayaan tersebut, satu majlis pengiktirafan telah diadakan di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Dengkil pada 28 Februari 2020.

Majlis penyerahan sijil pengikitirafan tersebut telah disampaikan oleh Puan Lee Pooi Leng, Pengurus Pejabat Malaysia Book of Records kepada Profesor Dr. Saifollah Abdullah, Pengarah Pusat Asasi UiTM dan turut disaksikan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Azizan bin Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan wakil kepada Ahli Parlimen Sepang, En. Anas As-said Zaharudin.

Majlis turut dihadiri guru besar sekolah, pensyarah dan para pelajar yang terlibat. Dalam ucapan alu-aluan beliau, Profesor Dr. Saifollah menekankan kepentingan memberi “komitmen sepenuh hati” dalam mencapai matlamat yang sama untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan menyediakan pengalaman yang tidak ternilai kepada pelajar.

Malah, komitmen tinggi Pusat Asasi UiTM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah ditunjukkan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan pada masa lalu.

Kali ini, ianya dilaksanakan melalui pengajaran Bahasa Inggeris kepada pelajar di sekolah oleh pelajar Asasi.

Kerja keras dan dedikasi pelajar dan pensyarah dalam menjayakan projek ini adalah bukti kelestarian tanggungjawab sosial korporat sebagai budaya dalam kalangan komuniti kampus.

Pusat Asasi telah mengukir nama dalam Malaysian Book of Record bagi “Penyertaan pelajar terbesar secara serentak dalam program aktiviti Bahasa Inggeris”.

Walau bagaimanapun, pencapaian luar biasa ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan Pengarah, para guru besar, guru-guru, pensyarah serta pelajar-pelajar yang terlibat.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM memuji contoh komitmen yang ditunjukkan oleh para pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB) Pusat Asasi UiTM dalam menerajui projek serta pelajar yang bekerja keras dalam menjayakan program ini.

Beliau juga berterima kasih kepada lapan sekolah yang terlibat iaitu SK Dengkil, SK Putrajaya Presint 5(1), SK Putrajaya Presint 8(1), SK Putrajaya Presint 8(2), SK Putrajaya Presint 9(1), SK Putrajaya Presint 9(2), SK Putrajaya Presint 18(1), dan SK Putrajaya Presint 18(2) dan menasihatkan semua pelajar untuk terus bergiat aktif dalam pelbagai projek perkhidmatan inovatif dan komuniti.

Beliau juga berharap program EECE ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan selanjutnya di bawah inisiatif utama yang digariskan dalam perancangan strategik UiTM.

(Visited 599 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button