
Prasarana sasar 1.4 juta penumpang sehari tahun ini
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali pengangkutan awam utama negara kekal komited dalam mentransformasikan landskap pengangkutan awam sekali gus mensasarkan purata 1.4 juta penumpang sehari menjelang Disember 2025.
Sasaran ini berdasarkan unjuran pertambahan 10 hingga 12 peratus bilangan penumpang rel dan bas pasca pandemik Covid-19. Selain itu, sasaran ini turut dipacu dengan kejayaan beberapa inisiatif yang diperkenalkan Prasarana dan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Pada tahun 2024, Prasarana merekodkan purata 1.18 juta penumpang harian iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus daripada 955,000 penumpang pada tahun sebelumnya.
Prasarana juga berjaya mengurangkan jumlah bilangan gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 71 gangguan pada tahun 2024 berbanding 118 gangguan yang direkodkan pada 2023. Ini adalah penambahbaikan reliabiliti operasi tren sebanyak 33 peratus yang berjaya dicapai pada tahun lepas.
Ketersediaan bilangan tren juga mencatat kemajuan ketara pada tahun 2024, dengan peningkatan sebanyak 21 peratus daripada 148 unit kepada 179 unit tren.
Penambahan ini berjaya mengurangkan waktu menunggu, terutamanya di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang, masing-masing kepada 3 minit dan 4 minit.
Pengalaman perjalanan penumpang turut diberi perhatian sepanjang tahun 2024.
Pengenalan koc wanita yang diperluaskan ke Laluan Putrajaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling telah membuahkan hasil positif, dengan tiada sebarang kes gangguan seksual dilaporkan di gerabak khas yang ditanda dengan pelekat merah jambu.
Sistem keselamatan di Laluan Monorel juga telah dipertingkatkan apabila kesemua 11 stesen dilengkapi sistem pintu platform automatik (PAGS).
Ini adalah bukti tanggungjawab dan keperihatinan kerajaan bagi memastikan semua sistem pengangkutan awam selamat dan bercirikan universal akses untuk semua golongan.
Perkembangan Segmen Bas
Pengenalan perkhidmatan Rapid KL On-Demand dan pelaksanaan lorong bas di Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama telah menyumbang kepada pertumbuhan penumpang bagi segmen bas.
Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) bagi perkhidmatan bas telah meningkat sebanyak 25 peratus dari 10,447 km kepada 13,039 km. Peningkatan positif ini telah menjangkaui sasaran untuk tahun 2024 sebanyak 19 peratus.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand telah mencatatkan peningkatan 59 peratus jumlah penumpang, daripada 1,271 kepada 2,023.
Sebanyak 20 unit van untuk perkhidmatan ini telah beroperasi sejak Jun 2024, dan bilangan ini akan meningkat
kepada 320 unit secara berperingkat dengan penghantaran pertama dijadualkan pada Februari 2025.
Di samping itu, program penggantian bas baharu sedang giat dilaksanakan menerusi pembelian 310 unit bas diesel yang dijangka diterima secara berperingkat bermula akhir suku pertama tahun ini. Ini adalah program penggantian bas diesel terakhir sebelum Prasarana beralih sepenuhnya kepada penggunaan bas elektrik menjelang 2037.
Sebagai tambahan, Prasarana telah memulakan proses tender bagi perolehan 250 unit bas elektrik baharu dan penghantaran unit pertama dijangka diterima pada Disember tahun ini.
Inisiatif pengguna bas elektrik yang mesra alam sekitar adalah usaha syarikat untuk menyokong komitmen negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Bagi meningkatkan kemudahan pengguna, Prasarana turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menaiktaraf 175 hentian bas dan laluan pejalan kaki, memastikan perjalanan lebih selesa dan mesra pengguna.
Pembangunan Modal Insan dan Kolaborasi Antarabangsa
Prasarana turut menitikberatkan pembangunan modal insan bagi hampir keseluruhan 13,000 kakitangannya, dengan menambahbaik faedah-faedah berkaitan gaji dan elaun serta memperkasakan kebajikan dan kesihatan kakitangan.
Usaha ini telah melayakkan Prasarana menerima anugerah tempat pertama sebagai Majikan Pilihan Malaysia dalam kategori Pengangkutan & Logistik dan tempat ke-empat secara keseluruhan di Graduan Brand Awards.
Kolaborasi di peringkat antarabangsa turut diperluas menerusi jalinan kerjasama bersama International Association of Public Transport (UITP) bagi mengiktiraf Prasarana sebagai Pusat Latihan Wilayah UITP ke-10 di dunia dan ke-2 di Asia.
Fokus 2025: Meningkatkan Kesalinghubungan
Prasarana giat menjalankan kempen dan inisiatif bagi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu nisbah peratusan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030 di Lembah Klang.
Pengangkutan awam terus menjadi pilihan utama rakyat kerana dapat menjimatkan tempoh perjalanan dan mengurangkan kos perbelanjaan harian.
Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan meneruskan subsidi pas perjalanan tanpa had My50 yang dijangka bakal menarik lebih ramai pengguna baharu. Setakat ini, purata penggunaan pas My50 adalah sebanyak 230,000 pengguna sebulan, dimana pengguna hanya membayar RM50 dan baki RM100 adalah subsidi yang ditanggung kerajaan.
Pembukaan dan pengoperasian 20 stesen pertama Laluan Shah Alam pada 30 September 2025 dan pengembalian lima stesen yang dijadualkan pada 31 Disember 2028 bakal mengubah gaya hidup hampir dua juta pengguna di sepanjang jajaran yang bermula dari Bandar Utama, merentasi pusat bandar Shah Alam, Klang dan seterusnya ke Johan Setia.
Laluan baharu ini dijangka dapat menambah kesalinghubungan sistem pengangkutan awam dengan laluan rel sedia ada di Stesen Bandar Utama – Laluan Kajang dan Stesen Glenmarie – Laluan Kelana Jaya, dan sokongan perkhidmatan bas perantara bagi capaian batuan pertama dan terakhir.
Aplikasi perancang perjalanan MyRapid PULSE versi baharu turut diperkenalkan dengan ciri-ciri antaramuka yang lebih mudah dan menarik bagi memberikan pengalaman perjalanan pengguna yang efisien.
Prasarana akan terus memberi komitmen dan sokongan berterusan kepada kerajaan dalam menjayakan agenda memartabatkan penggunaan pengangkutan awam selaras dengan Malaysia selaku Kepengerusian ASEAN 2025 dan bersedia untuk menjayakan visi Tahun Melawat Malaysia 2026. – SM