
Prasarana perkasa 5,000 rakan niaga
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) secara rasminya melancarkan Vendor ESG Hub, sebuah platform digital komprehensif yang dibangunkan untuk menyokong dan memperkasa rakan niaga Prasarana dalam
melaksanakan amalan kelestarian dan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) ke dalam operasi perniagaan mereka.
Pelancaran ini merupakan kesinambungan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Prasarana dan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) yang telah ditandatangani pada 16 Mei lalu, bertujuan memperkukuh vendor dalam rantaian bekalan Prasarana ke arah pematuhan standard ESG global.
Perasmian ini juga diadakan bersempena dengan HSSE & SD Week 2025, minggu kesedaran Prasarana yang memberi tumpuan kepada aspek Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Mampan.
Portal Vendor ESG Hub menawarkan pelbagai sumber praktikal, panduan, dan alat digital yang direka khusus untuk membantu vendor memahami, menilai serta melaksanakan amalan ESG secara progresif dan berstruktur. Platform ini dibahagikan kepada empat (4) segmen utama:
• Menilai (Assess) – Menampilkan alat penilaian digital untuk mengukur tahap kematangan ESG syarikat. Vendor boleh mengetahui kedudukan semasa dan menjejak kemajuan mereka secara berterusan.
• Inspirasi (Inspire) – Kompilasi kajian kes dan kisah kejayaan yang menjadi inspirasi kepada vendor dalam membentuk serta memperkukuh inisiatif kelestarian mereka.
• Belajar (Learn) – Sumber pendidikan dan bahan rujukan untuk memahami konsep asas ESG serta strategi yang boleh dilaksanakan secara berkesan.
• Buat (Do) – Panduan praktikal dan alat sokongan untuk membantu vendor mengambil tindakan dan mengintegrasi ESG ke dalam operasi serta tadbir urus perniagaan mereka.
Hampir 5,000 vendor yang telah berdaftar dengan Prasarana kini berpeluang untuk mengakses program latihan yang disasarkan, membolehkan mereka meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi keperluan perniagaan masa hadapan yang lebih mampan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, “Pelancaran Vendor ESG Hub ini memperkukuh lagi komitmen kami untuk bergerak seiring bersama rakan niaga ke arah pembangunan yang mampan.
“Ia mencerminkan peranan penting yang dimainkan oleh vendor Prasarana dalam menyokong matlamat ESG kami. Melalui platform ini, kami mahu memastikan para vendor bersedia menghadapi cabaran perniagaan masa hadapan.”
Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Faroze Nadar turut menyatakan sokongan beliau terhadap inisiatif ini.
“Pelancaran Prasarana Vendor ESG Hub merupakan satu langkah signifikan yang menonjolkan kepimpinan dan komitmen Prasarana dalam menerajui agenda kelestarian dalam sektor pengangkutan awam.
“Inisiatif strategik ini bukan sahaja memperkasakan vendor, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing mereka, malah membuka jalan kepada pertumbuhan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
“Kami di UNGCMYB menyambut baik pendekatan inklusif ini yang memberikan akses kepada semua perniagaan untuk mengadaptasi prinsip ESG. Ini adalah bukti bagaimana inovasi digital boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi hijau dan pengurusan rantaian bekalan yang lestari di Malaysia.”
Vendor ESG Hub ini boleh diakses oleh semua vendor berdaftar Prasarana melalui pautan https://www.prasaranavendoresghub.com/. Inisiatif ini menandakan satu lagi langkah strategik dalam usaha berterusan Prasarana untuk menjadi peneraju transformasi kelestarian dalam sektor pengangkutan awam negara. – SM