Auto TravelBerita Auto

ART Day 2023 bakal himpunkan kereta berprestasi tinggi di SIC

UTAMA Motors Sdn. Bhd. Hari ini telah membuat pengumuman rasmi sebagai penaja utama ‘Adrenaline Rush Track Day 2023’ (ART Day 2023) yang bakal berlangsung pada pada 15 Julai 2023 nanti di Paddock Utara, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dianjurkan buat julung kalinya oleh Kelab U Supercars.

Pengumuman tersebut telah disempurnakan dalam satu majlis yang diadakan di ruang pameran syarikat itu di Jalan Ampang, telah dihadiri rakan-rakan penganjur bersama, barisan penaja dan tetamu-tetamu jemputan khas. Turut serta memberikan sokongan kepada Utama Motors dan acara yang bakal diadakan adalah wakil-wakil daripada Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).

Pengarah Urusan Utama Motors, Datuk Marof Khan bin Mohamed Idris memberitahu acara sukan permotoran bukanlah sesuatu yang asing bagi Utama Motors kerana mereka telah banyak menyertai acara seumpama itu sebelum ini.

“Utama Motors amat teruja untuk sama-sama memeriahkan ART Day 2023 yang menampilkan pelbagai kereta berprestasi tinggi dan kereta sport,” ujar beliau.

Tambah Marof lagi, acara ini bakal disertai lebih 400 pemilik kereta pretasi tinggi dan kereta sport yang akan berarak, menjadikannya sebuah perhimpunan kereta berkuasa tinggi dan kereta sport terbesar yang pernah diadakan di negara ini, sekaligus akan diikhtiraf Buku Rekod Malaysia (Malaysia Book of Records).

Selain perarakan kereta berpretasi tinggi dan kereta sport, lebih 200 pemilik motor Harley Davidson akan turut serta memeriahkan perarakan ART Day 2023 nanti.

ART Day 2023 turut menganjurkan acara Time Attack bagi membuka peluang kepada pemilik-pemilik kereta berkuasa tinggi, kereta sport mahupun motor Harley Davidson yang berminat untuk merasai pengalaman memandu di atas trak dan menguji ketahanan kenderaan mereka.

Untuk mendaftar bagi acara perarakan mahupun Time Attack, mereka yang berminat boleh menghubungi talian 017-4619985 atau emel ke [email protected]. Yuran penyertaan serendah RM120 dikenakan bagi kategori perarakan untuk kereta berkuasa tinggi dan kereta sports manakala untuk kategori perarakan motor Harley Davidson, yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM150 yang disertakan dengan sehelai t-shirt dan makan malam.

Bagi kategori Time Attack pula, yuran penyertaan adalah RM800 beserta t-shirt dan makan malam untuk kategori kereta berprestasi tinggi dan kereta sports manakala untuk kategori motor Harley Davidson, yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM380 yang disertakan dengan sehelai t-shirt dan makan malam.

Melalui acara Time Attack, hadiah bernilai hampir RM80 ribu yang berupa wang tunai, piala dan baucar pembelian untuk kegunaan di Utama Motors & FS Bikes ditawarkan bagi mereka yang menyertai acara tersebut. Selain itu, ART Day 2023 yang dibuka kepada orang ramai turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah berupa helmet motor, baju eksklusif Harley Davidson dan bermacam lagi.

Selain berpeluang melihat sendiri secara dekat keunikkan kereta dan motosikal, antara acara lain yang bakal menjadi tarikan pengunjung adalah persembahan pentas daripada barisan artis tanah air.

Terdapat lebih 20 pengendali trak makanan dengan sajian juadah tempatan dan antarabangsa yang boleh dikunjungi sekiranya pengunjung-pengunjung ingin menjamu selera. Orang ramai yang berminat untuk ke ART Day 2023 boleh mendapatkan tiket berharga RM29 bagi orang dewasa dan RM14 bagi kanak-kanak yang sudah mula terjual di www.ticket2u.com.my.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara ‘ART Day 2023’ orang ramai boleh ikuti akaun media sosial Utama Motors di Facebook, Instagram dan Tiktok @utamamotors_. – SM 

Artikel berkaitan > “Sangat terkejut dan tangan terketar-ketar!”

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button