Hiburan

PPZ MAIWP tawar rumah buat To’ki

Kisah penyanyi popular era 90-an, To’ki atau nama sebenarnya Mohd. Zaki Mansur, 53, yang tular kerana kisahnya yang kini tinggal di sebuah pondok di pinggir hutan di Batu 12, Gombak, Selangor semalam mula mendapat perhatian ramai.

Antara yang tampil memberi bantuan awal ialah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang hadir ke rumah penyanyi itu kira-kira pukul 1 petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pihaknya telah menawarkan beberapa bantuan penting seperti rumah baru dan kelengkapan lain untuk memberi kehidupan yang selesa kepada To’ki.

“Kita tengok pondok ini tidak berapa sesuai untuk diduduki dalam tempoh masa yang lama apatah lagi isterinya pun baru lepas kemalangan.

“To’ki pun ada beritahu yang dia cukup sayang dengan tempatnya ini tetapi kita mahu bantu untuk dia mempunyai kehidupan yang lebih selesa.

“Dia boleh datang lagi ke sini bila-bila masa jika mahu berkarya atau sebagainya. Cuma saya beritahu dia supaya tidak perlu tinggal di tempat ini,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka di rumahnya.

to'ki
To’ki berbual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Ahmad Shukri Yusoff (dua dari kiri) di hadapan rumahnya di Batu 12, Gombak Selangor.

Jelas Ahmad Shukri, pertolongan ini bukanlah kerana dia seorang yang dikenali sebaliknya fokus PPZ adalah untuk membantu semua yang memerlukan.

“Kita fokus pada semua yang perlukan bantuan. Kebetulan To’ki ini adalah penyanyi yang cukup dikenali dan bila kita terbaca mengenai kisahnya, kita terus beri bantuan segera,” jelasnya.

BACA> Sekolah mula dibuka 15 Julai dan 22 Julai ikut 3 model pengoperasian

Menurut Ahmad Shukri, PPZ akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Kita faham, mungkin ada NGO yang tidak mampu untuk bantu dengan dana yang besar dan kita di PPZ mempunyai keupayaan itu dan kita akan bantu,” jelasnya.

to'ki
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff bersama isteri To’ki, Sharifah Fairuz Syed Yusof.

Sementara itu, To’ki menyatakan rasa syukur dengan bantuan yang diterimanya dan bersedia untuk berkongsi bantuan itu dengan mereka yang memerlukan.

“Saya bersyukur dengan bantuan yang ada. Saya tidak minta tetapi kehadiran mereka ini adalah di atas ketetapan Allah.

“Jadi saya terima dengan hati terbuka dan jika sumbangan yang diberikan kepada saya ini berlebihan, saya akan agihkan kepada golongan lain yang memerlukan,” jelasnya.

BACA> Covid-19: Kes tempatan 0, 1 kes

To’ki merupakan seorang penyanyi popular era 90an dengan lagu-lagu berkonsepkan pop Melayu dan pop etnik yang popular dengan lagu Seni Berzaman, Biasan dan Hampa.

Sekitar tahun 2017, To’Ki kononnya pernah dituduh mengemis daripada orang ramai.

Bagaimanapun tuduhan itu dinafikan oleh To’ki yang berkata, dia masih lagi mempunyai kudrat untuk berusaha dan bukannya sekadar mengharap bantuan orang. -SM

(Visited 617 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button