Ekonomi

PPVIN ketiga SDP beri vaksin kepada 6,500 pekerja

PUSAT Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) ketiga Sime Darby Plantation Bhd (SDP) di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Selangor, akan menyediakan kemudahan suntikan vaksin COVID-19 untuk kira-kira 6,500 pekerja ladang.

Menerusi kenyataannya pada Isnin, syarikat itu berkata PPVIN itu tidak hanya menyediakan perkhidmatan untuk pekerja sektor minyak sawit, getah dan sektor pertanian SDP di negeri berkenaan, tetapi turut membabitkan pekerja ladang syarikat-syarikat lain.

Menurutnya, PPVIN itu juga berperanan sebagai usaha rintis bagi sektor perladangan di Semenanjung Malaysia di bawah Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) yang diterajui oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

PPVIN Tennamaram itu dibuka hasil bantuan serta kerjasama agensi kerajaan berkaitan termasuk Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, MPIC, MPOA dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengarah Urusan SDP Mohamad Helmy Othman Basha berkata, adalah penting untuk pekerja perladangan selaku nadi sektor pertanian negara, turut diberi peluang untuk mendapat suntikan vaksin.

“Walaupun keadaan kesihatan dan kesejahteraan pekerja ini amat diutamakan, kami juga perlu memastikan bahawa keseluruhan langkah pemberian vaksin ini adalah secara sukarela dan pekerja terbabit memahami proses serta keperluannya,” katanya.

Pada awal bulan ini, SDP telah membuka dua PPVIN di Ladang Rajawali dan Lavang di Bintulu, Sarawak yang membabitkan usaha pemberian suntikan vaksin untuk lebih 4,000 pekerja.

Pada 17 Jun 2021, SDP turut menjadikan kawasan ibu pejabatnya di Ara Damansara, Selangor sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Orang Kurang Upaya (OKU) secara pandu lalu untuk golongan berkenaan serta penjaga mereka.

Seramai 13,500 orang yang layak telah mendaftar bagi program itu yang membabitkan pemberian sejumlah 7,255 dos suntikan setakat 23 Julai 2021. -BERNAMA

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button