Nasional

PPV mega Bukit Jalil mampu tampung 4,000 orang

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini mampu memuatkan kira-kira 4,000 pengunjung setiap hari.

Bagaimanapun, Pengurus PPV Axiata Arena Bukit Jalil, Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi, berkata sebagai permulaan, pihaknya menetapkan hanya 1,600 penerima vaksin sehari dan ia akan ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Mereka yang akan datang ke PPV Axiata Arena Bukit Jalil bermula esok akan ambil dos kedua vaksin selepas ditukarkan janji temu dari PPV Kompleks Sukan Desa Tasik dan Kompleks Komuniti Muhibbah.

“Sebelum ini, dua kompleks itu masing-masing boleh memuatkan 800 orang sebab itu kita akan mula menerima kunjungan 1,600 individu.

“Bila kita boleh pastikan semua proses lancar, tahap keselesaan penerima vaksin berada pada tahap maksimum dan tiada isu kesesakan, maka kita akan naikkan kepada angka 4,000 individu secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Axiata Arena Bukit Jalil, lapor Berita Harian hari ini.

Selain Axiata Arena Bukit Jalil, PPV mega yang akan dibuka esok ialah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dekat Shah Alam dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Ditanya mengenai persiapan, Dr Mohd Fadhli, berkata pihaknya membuat ‘trial run’ atau simulasi penuh proses pemberian vaksin kepada 36 petugas barisan hadapan di PPV Axiata Arena Bukit Jalil, pagi tadi.

Katanya, proses itu yang berjalan lancar disaksikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Semua meja dan kerusi juga sudah siap disusun, selain penyediaan ruang menunggu bagi penerima vaksin.

“Dalam hal ini, kita akan terus mempertingkatkan proses perkhidmatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Mohd Fadhli berkata, kira-kira 200 petugas membabitkan kakitangan kesihatan, sukarelawan, anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di PPV Axiata Arena Bukit Jalil bagi melancarkan proses pemberian vaksin.

“Saya sarankan penerima vaksin supaya datang setengah jam atau sejam awal daripada masa janji temu ditetapkan.

“Kita ada ruang menunggu tetapi kalau terlalu ramai datang pada satu-satu masa, ia akan menyebabkan kesesakan dan penjarakan fizikal sukar dilakukan.

“Individu mempunyai simptom seperti batuk dan demam pula tidak disarankan datang ke pusat vaksin dan sesi janji temu mereka akan ditukar ke tarikh lain lebih sesuai,” katanya.

Sementara itu, jururawat, Zuryatie Abdul, berkata setiap kakitangan perubatan akan menyuntik vaksin kepada lebih 100 individu sehari di PPV berkenaan mulai esok.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 30 bilik suntikan dengan ruang selesa disediakan bagi memastikan proses suntikan vaksin berjalan lancar.

“Kita ada 16 kakitangan terbabit proses suntikan vaksin yang mengambil masatidak sampai seminit.

Namun, ada situasi kadang-kadang penerima vaksin takut jarum dan bertanyakan banyak soalan hingga menyebabkan proses itu menjadi lebih lama hingga 10 minit.

“Kita ada bahagian kaunseling dan persetujuan. Sebab itu sebelum masuk ke bilik untuk suntikan, pastikan sudah menzahirkan semua kebimbangan dan soalan kepada pihak terbabit untuk menjimatkan masa,” katanya.

Sukarelawan, Muhammad Syahir Roshidi, berkata dia pula ditugaskan membawa kereta bugi bagi menghantar pengunjung terutama golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dari kawasan parkir ke PPV berkenaan.

“Saya juga akan ambil dan hantar mereka yang menggunakan perkhidmatan tren di kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan.

“Menjadi sukarelawan membolehkan saya menyumbangkan sedikit khidmat bakti sebagai rakyat Malaysia kepada masyarakat,” katanya.

(Visited 327 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button