Ekonomi

Ringgit meningkat kepada RM4.65 berbanding dolar AS

Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga pada Rabu selepas permintaan terhadap mata wang negara maju itu susut susulan pengumuman data ekonomi AS.

Perkembangan itu menyaksikan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS susut daripada jangkaan ramai kepada 3.2 peratus pada Oktober berbanding 3.3 peratus yang dijangkakan.

Setakat 9.09 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.6550/6600 berbanding dolar AS daripada 4.7165/7210 pada akhir dagangan semalam.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data inflasi AS juga lebih rendah berbanding dua bulan lepas apabila IHP meningkat sebanyak 3.7 peratus bagi dua bulan berturut-turut.

Dalam pada itu, IHP teras terus turun kepada 4.0 peratus pada Oktober daripada paras tertinggi 6.6 peratus pada September tahun lalu.

Mohd Afzanizam menyifatkan penurunan inflasi itu sebagai petanda bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) telah menunaikan mandatnya untuk menurunkan inflasi dan berikutan itu Kadar Dana Persekutuan semasa telah menghampiri paras kemuncaknya.

Hasil Perbendaharaan AS bagi dua dan 10 tahun pula masing-masing turun 21 mata untuk ditutup pada 4.83 peratus dan 19 mata asas kepada 4.45 peratus manakala Indeks Dolar AS (DXY) turun 1.47 peratus kepada 104.081 mata.

“Susulan itu, ringgit dijangka mencatat aliran kenaikan susulan penurunan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MoF) berkata kadar pertukaran ringgit yang fleksibel turut berperanan penting dalam mengurangkan impak kejutan luaran terhadap aktiviti ekonomi domestik.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) pula dijangka terus mengurus risiko daripada perkembangan domestik dan luaran untuk menangani ketidaktentuan pasaran pertukaran asing selain bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

“Sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang, BNM akan sentiasa memastikan ringgit diselaras secara teratur,” kata MoF dalam maklum balasnya yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Dalam pada itu, berbanding kumpulan mata wang utama lainnya, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0914/0949 daripada 3.1091/1123 pada akhir sesi semalam, namun turun berbanding euro kepada 5.0605/0659 daripada 5.0570/0619 serta susut berbanding pound Britain kepada 5.8113/8175 daripada 5.8032/8087.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4487/4526 daripada 3.4675/4713 semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 296.5/297.0 daripada 300.4/300.9 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.1001/1212 daripada 13.0760/0946 sebelum ini dan meningkat kepada 8.34/8.36 berbanding peso Filipina daripada 8.41/8.42, semalam.

(Visited 21 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button