Politik

Potong gaji jika jadi PM hanya retorik Anwar

IPOH – Rakyat terutamanya pengundi di negeri Perak tidak boleh terpedaya dengan janji manis Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menolak gaji sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sepatutnya tidak mengambil gaji dan elaun ketika menjadi ketua pembangkang sekiranya prihatin dengan nasib rakyat.

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting berkata, kenyataan Anwar bahawa beliau akan memotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri sekiranya dilantik kelak hanyalah cakap kosong.

Tegas beliau, Anwar sepatutnya menetapkan pendirian itu sebagai ketua pembangkang demi menunjukkan keikhlasan beliau.

“Semasa beliau memegang jawatan sebagai ketua pembangkang tiga tahun yang lepas, jawatan ini setaraf dengan menteri dengan gaji pula mencecah RM33,000.

“Ini tidak termasuk elaun pakaian sebanyak RM9,000.

“Jadi kalau benar-benar Anwar seorang yang prihatin dengan rakyat Malaysia, eloklah sejak awal lagi tidak mengambil gaji dan elaun tersebut,” ujar beliau.

Tegas Cally, Anwar perlu membuktikan keikhlasan beliau dan bukan sekadar bercakap di pentas.

“Buktikan kepada kita bahawa anda telah menolak sebarang gaji atau elaun sebagai ketua pembangkang PH,” ujarnya.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi jaminan melakukan pemotongan gaji dan elaun sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, itu adalah perkara pertama yang akan dilakukan susulan keadaan ekonomi yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada Khamis lepas.

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button