NasionalNegeri

40 set bubu naga bernilai RM3,200 dirampas di Kuala Sanglang

SEGELINTIR nelayan masih berdegil apabila berterus menggunakan bubu naga yang diharamkan kerajaan. Jalan mudah ini digunakan bagi mengaut hasil laut yang banyak sekaligus sedangkan perbuatan ini menjejaskan ekosistem hidupan marin.

Bagaimanapun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis terus giat membanteras perbuatan nelayan yang tidak bertanggungjawab ini.

40 set bubu naga yang dirampas. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.
Pancang bertanda kain sebagai petanda bubu naga dipasang telah dikesan di Kuala Sanglang.

Terbaharu pasukan ini telah merampas 40 set bubu naga pada kedudukan lebih kurang 0.8 batu nautika  barat daya Kuala Sanglang, Perlis sekitar jam 3.20 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu ini dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Benteng Laut di perairan Perlis.

Katanya, hasil tinjauan mendapati terdapat sebatang pancang kayu yang bertanda kain berwarna biru yang telah dipacak.

“Sekaligus ia membawa kepada penemuan bubu naga berkenaan yang telah diikat secara berangkai dan diletakkan beberapa ketulan batu bata sebagai pemberat pada kayu,” katanya.

Beliau berkata, bubu naga itu dipercayai telah dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga tersebut dirampas dengan anggaran nilai RM 3,200  dan  dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,”
katanya.

Mohd Zain berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Katanya, bubu naga ini diharamkan penggunaannya di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button