MahkamahNasionalNegeri

Pengawal keselamatan mengaku guna mercun buatan sendiri rosakkan khemah SK Padang Besar

Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara berjumlah 34 bulan oleh Mahkamah Majistret Kangar hari ini setelah mengaku salah di atas tiga pertuduhan termasuk melakukan khianat menggunakan mercun buatan sendiri sehingga merosakkan khemah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar.

Bagaimanapun tertuduh Hapizal Saad, 42 dari Padang Besar hanya akan menjalani hukuman penjara selama 18 bulan sahaja mulai tarikh ditangkap pada 16 Ogos lalu.

Tertuduh, Hapizal (baju coklat) dibawa turun dari kenderaan untuk dihadap ke Mahkamah Majistret Kangar.

Ini kerana Majistret Ana Rozana Mohd Nor memutuskan Hapizal dikenakan hukuman penjara 18 bulan pada pertuduhan pertama dan 12 bulan bagi pertuduhan kedua yang diarah supaya berjalan serentak dari tarikh tangkapan.

Ana Rozana juga memutuskan tertuduh dihukum penjara empat bulan bagi pertuduhan ketiga, berkuasakuasa hari ini.

Pada pertuduhan pertama, bahawa Hapizal pada 16 Ogos, pukul 4.50 pagi, di hadapan SK Padang Besar telah melakukan khianat dengan menggunakan mercun buatan sendiri sehingga menyebabkan kerosakan kepada khemah milik SK Padang Besar yang menyebabkan kerugian RM50.

Ia membawa kepada kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bahawa tertuduh pada 16 Ogos pada pukul 5.30 petang di sebuah rumah di Padang Besar telah memiliki bahan letupan iaitu satu bungkus plastik lutsinar mengandungi 100 biji mercun bola besar dan satu kotak yang tertera “8426 Thunder Clap” tanpa kebenaran yang sah disisi undang-undang.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan berkaitan saringan ujian kecing, bahawa tertuduh pada 30 Julai pada pukul 5.15 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar telah menggunakan dadah bahaya Amphetamine dan Methamphetamine.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Juga diwajibkan menjalani pengawasan tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab Rashid dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hasnor Arysha Hamdan dan Syazwan Shahidan. – SM

BACA Usah spekulasi letupan luar pagar SK Padang Besar

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button