Nasional

Sasaran setengah juta dapat kerja boleh dicapai tahun ini

SASARAN kerajaan untuk mewujudkan setengah juta peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai.

Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang mengadakan mesyuarat kali ketiga semalam dimaklumkan lebih
376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September lalu.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kejayaan menempatkan pekerja tersebut melebihi sasaran 354,276 peluang pekerjaan yang ditetapkan kerajaan untuk sembilan bulan pertama tahun ini.

“Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai.

“Selain itu, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76% daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

“Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa. Pelan tersebut akan disokong oleh lima pasukan pakar di bawah NEC.

Tambah beliau, penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama iaitu peningkatkan kerjasama antara industri dan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri dan memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa.

Selain itu teras tersebut turut merangkumi memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden dan mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

“Enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping
meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET

“Antara cadangan NJCSP adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program-program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan,” kata Ismail Sabri.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif

Mesyuarat itu bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.-SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button