NasionalNegeri

Pondok kecil diserbu jadi setor simpanan minyak petrol haram

Sekali pandang ia cuma sebuah pondok kecil, tambahan pula ia terletak di dalam kawasan rumah berpagar. Tiada siapapun akan menyangka sebenarnya pada bahagian bawah pondok kecil ini dijadikan sebagai “setor simpanan minyak petrol haram”.

Perkara ini telah dibongkar oleh pihak polis setelah mengadakan serbuan pada kira-kira pukul pukul 11.30 pagi, semalam di Kampung Kolam, Padang Besar.

Pondok kecil dalam kawasan berpagar jadi setor simpan minyak petrol secara haram.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai pekerja dan tinggal di pondok kecil itu telah ditahan.

Beliau berkata, pihaknya menemui tiga tong drum berisi minyak petrol pada bahagian bawah pondok itu.

“Polis juga merampas minyak petrol 600 liter, satu unit pam sedut minyak dan dua unit hose getah bernilai RM2,390,” katanya dalam kenyataan di sini.


Mohd Shokri berkata, siasatan awal mendapati pondok itu telah beroperasi lebih kurang sebulan.

Katanya, semasa serbuan pondok tersebut dalam keadaan berkunci dan kemudiannya telah dibuka oleh suspek.

“Lokasi pondok ini juga terletak di dalam sebuah rumah yang berpagar sekaligus menyebabkan kegiatan penyelewengan minyak petrol haram tidak dapat dikesan pada peringkat awal,” katanya.

Bahagian bawah pondok kecil ini dijadikan setor simpanan minyak petrol secara haram.

Mohd Shokri berkata, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 194 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual ‘LPG’ tanpa lesen yang sah.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button