PRK

Politik perkauman didalangi mereka yang terdesak – Dr. Mahathir

PERMAINAN politik perkauman didalangi oleh mereka yang terdesak kerana berhadapan tindakan undang-undang akibat ketamakan dan keangkuhan ketika berkuasa, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ekoran itu Perdana Menteri berkata, rakyat tidak boleh memberikan mereka peluang untuk terus mengadu-domba rakyat.

“Cara yang paling mudah ialah tidak mengundi wakil mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Mereka tidak peduli jika perbuatan mereka itu boleh mengakibat tercetusnya pertembungan di antara kaum kerana bagi mereka, jika berlaku kekacauan, kemungkaran yang telah mereka lakukan akan dipinggir,” kata Dr Mahathir menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau percaya calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Tanjung Piai, adalah calon yang amat sesuai untuk meneruskan usaha-usaha Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Selain memahami kehendak serta hati budi penduduk setempat, Karmaine pastinya akan mampu meneruskan rancangan pembangunan serta mengagih peruntukan-peruntukan untuk Parlimen ini yang telah berjaya didapatkan dahulu oleh Allahyarham Dr Md Farid,” katanya.

PRK ini menyaksikan pertandingan enam penjuru yang melibatkan Karmaine, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button