
Politik murahan, pembangkang ketandusan isu
SATU dakwaan terbaru kononnya 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Perdana Menteri telah tular di media sosial. Kenyataan ini bukan sahaja tidak berasas, malah dilihat sebagai satu usaha jahat untuk menggugat kestabilan politik negara dan mencetuskan persepsi palsu dalam kalangan rakyat. Berikut adalah beberapa penjelasan penting yang perlu difahami:
Cubaan Menghidupkan Isu Pemilihan Parti yang Sudah Selesai
Isu ini jelas direka untuk terus menghangatkan suasana selepas pemilihan PKR walaupun proses tersebut telah berjalan dengan baik, lancar dan diterima secara demokratik oleh ahli parti. Ia adalah cubaan terdesak untuk menimbulkan kekacauan yang nyata tidak berlaku.
Reaksi Pihak Kecewa yang Mahukan Kekecohan Dalam Parti
Naratif penarikan sokongan ini datang daripada pihak yang kecewa kerana pemilihan PKR tidak menghasilkan krisis dalaman seperti yang mereka harapkan. Mereka mengharapkan kekacauan, perpecahan dan perbalahan, namun yang berlaku adalah proses pemilihan yang matang dan tersusun.
Isu Dalaman Parti Tidak Wajar Ditarik ke Kancah Pentadbiran Negara
Dakwaan kononnya ada pemimpin ingin menarik sokongan kerana tidak terpilih dalam pemilihan adalah tindakan tidak rasional. Perlu diingat, kedudukan dalam parti ditentukan oleh ahli parti, bukan oleh rakyat umum. Mengapa perlu kekecewaan peribadi itu dilampiaskan kepada institusi Perdana Menteri atau kerajaan yang sah, yang tidak ada kena mengena?
Ketika negara sedang berdepan cabaran geopolitik dan ekonomi, fokus pentadbiran tidak wajar dialih kepada politik sempit dan peribadi sesetengah pihak.
Tiada Kaitan Antara Keputusan Ahli Parti dan Kepimpinan Perdana Menteri
Jika benar ada pemimpin yang kecewa kerana tidak dipilih semula dalam pemilihan parti, kekecewaan itu sepatutnya difokuskan kepada ahli yang membuat keputusan — bukan kepada Presiden parti dan Perdana Menteri, yang telah memberi ruang demokrasi kepada semua calon.
Adalah tidak logik dan tidak bertanggungjawab untuk mengaitkan kekalahan dalam parti dengan keputusan untuk menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan.
Naratif Terdesak Pembangkang yang Ketandusan Isu
Kita percaya ini adalah satu lagi cubaaan pembangkang mencipta isu palsu setelah mereka sendiri gagal membawa isu yang relevan kepada rakyat. Apabila tiada dasar, tiada idea, dan tiada penyelesaian ditawarkan, maka rekayasa politik menjadi jalan pintas untuk kekal relevan.
Penutup: Fokus Kepada Tadbir Urus, Bukan Politik Murahan
Semua pihak — termasuk media, pengamal politik dan rakyat — untuk menolak naratif tidak berasas yang hanya bertujuan mengganggu kestabilan negara. Kami juga menggesa pemimpin-pemimpin rentas parti, termasuk dari PH, BN dan GPS, untuk tampil bersama menolak politik fitnah yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan negara.
Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kekal fokus dalam menjayakan reformasi, menarik pelaburan dan membina masa depan rakyat — tanpa terganggu oleh politik toksik segelintir pihak.
Stabiliti politik adalah tanggungjawab bersama. Jangan biarkan fitnah menggantikan fakta.