fbpx
Nasional

POLITIK ETNIK DAN POLITIK BARU

Oleh Jazimin Zakaria

Tahun 2018 telah merakamkan suasana politik yang ternyata berbeza dari sebelum ini. Jika sebelum ini rakyat dijamukan dengan politik kepartian yang kuat dan bertunjangkan hegemoni, kini ia telah diganti oleh politik baru.

Justeru orientasi politik baru yang lebih matang dan mempunyai nilai integriti dilihat mula mendapat tempat dalam kalangan pengundi di negara ini. Oleh yang demikian intipati politik yang menilai prestasi, kredibiliti dan transparensi telah menjadi faktor utama pemula dan pengakhiran pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun.

Tahun-tahun yang sebelumnya negara ini dilihat sebagai semi demokrasi yang membatasi kebebasan atau memberi ruang yang sedikit bagi demokrasi untuk tumbuh sebagai asas politik negara ini.

 


Keputusan Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) pada 2018 telah memberikan kejutan besar kepada semua rakyat serta parti politik bahawa demokrasi boleh berlaku dan dengan kekalahan BN membolehkan Pakatan Harapan (PH) membentuk majoriti mudah kerajaan.

Hal ini harus juga difahami bahawa indikator rakyat telah mula menerima politik baru serta menolak politik etnik dan hegemoni secara tidak langsung. Secara dasarnya PH mendapat undian yang kuat dari rakyat dengan perolehan 113 berbanding 79 kerusi BN.

Peluang yang diperolehi melalui sentimen selamatkan Malaysia dari kerosakan dan hegemoni  pentadbiran BN telah memberikan kemenangan yang besar pada PRU-14 yang lalu. Ditambah pula dengan manifesto kebajikan rakyat yang sangat menarik bagi menguatkan lagi sokongan rakyat kepada PH.

Namun begitu tahun 2020 memberikan indikator baru terhadap suasana politik Malaysia. Walaupun kita telah melalui fasa kematangan politik yang hebat dengan pengundian merentas batas etnik pada PRU-13 dan PRU-14 yang lalu tetapi tahun 2020 telah membuktikan etnopolitik masih relevan di negara ini.

Hal ini jelas apabila wujudnya Muafakat Nasional dari dua parti politik Melayu terbesar negara iaitu gabungan Parti Islam Se-Malaysia atau PAS dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO.

Seharusnya PH memahami sentimen etnik dalam politik Malaysia yang mempunyai keterikatan kuat semenjak kemerdekaan lagi. Bermula dengan penentangan kepada Malayan Union sehingga tertubuhnya UMNO (1946) dan kelahiran Kongres India Se-Malaysia atau MIC (1946) serta Persatuan Cina Malaysia atau MCA (1949)  yang secara jelasnya berasaskan etnik.

Keputusan PAS dan UMNO dalam membentuk Muafakat Nasional merupakan bukti kepada suasana politik negara dilihat masih berasaskan etnik baik dari segi politik mahupun pembuatan dasar-dasar awam.

Idea ratifikasi ICERD dan Statut Rom sudah cukup meresahkan etnik Melayu dan umat Islam terhadap kedudukan mereka. Ditambah pula dengan isu penjualan aset–aset kerajaan seperti Khazanah Nasional, DRB-Hicom, Lembaga Urusan Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan pelbagai lagi.

Malah isu tulisan Jawi dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang gagal ditangani dengan baik turut menjadi liabiliti kepada PH yang jelasnya menjadikan Parti Tindakan Demokratik atau DAP sebagai sasaran.

Keresahan terhadap ekonomi dan sentimen agama telah memberi alasan kuat untuk terbentuknya Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO walaupun rata-rata melihatnya sebagai kesempatan yang diexploitasi oleh UMNO bagi meraih kembali sokongan selepas tewas dalam PRU-14 lalu.

Di samping itu kewujudan DAP yang cukup dominan di dalam PH seperti mana dalam PR pada PRU-13 yang lalu telah membawa kepada pengunduran PAS selepas percaturan ‘Langkah Kajang’.

Mereka seolah-olah tidak belajar dari sejarah dan peka dengan sentimen etnik dan agama. Politik etnik atau etnopolitik yang didokong masih menebal dan dizahirkan dengan tindakan mereka dalam sosialiasi politik melalui dua pakatan sebelum ini.

Jika perjuangan UMNO dan sekutunya sarat dengan hegemoni dan etnopolitik mereka, apakah DAP tidak melakukan perkara yang sama sehingga tergambar dalam dasar ekonomi dan pendidikan?

Justeru perjuangan politik PKR atas nama reformasi oleh Anwar Ibrahim yang membawa moto keadilan untuk semua juga berasal dari politik etnik UMNO.

Begitu juga Tun Dr. Mahathir yang membawa kepimpinan negara selama 22 tahun sebagai Perdana menteri keempat dan 22 bulan sebagai perdana menteri ke-7 turut mewakili parti politik berasaskan etnik iaitu UMNO.

Malah kelahiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mengungguli matlamat perjuangan etnik yang kebanyakan ahli mereka terdiri dari parti UMNO.

Tidak ketinggalan juga kelahiran parti MCA dan MIC juga merakamkan kelangsungan politik etnik mewakili kaum masing-masing. Dalam konsolidasi politik baru di Malaysia, demokrasi berasaskan etnik pada hakikatnya tidak dapat dipisahkan.

Walaupun muncul parti politik yang kelihatan membawa jenama Bangsa Malaysia namun masih tidak dapat lari dari penjenamaan etnik.

Dalam pada itu kemelut politik 2020 menyaksikan politik etnik telah menjadi begitu signifikan dalam suasana politik tanah air. Persaingan kuasa menyaksikan peranan institusi raja dilihat lebih menyerlah.

Sebagai simbol perpaduan dan pengimbang kuasa politik rakyat, YDPA telah bersikap profesional dengan memanggil semua ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak sebagai justifikasi keputusan baginda dalam isu perlantikan Perdana menteri sehingga terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Percaturan politik Malaysia sentiasa menggungguli elemen etnik dalam apa jua perubahan dan perkembangan politik yang berlaku. Malah kehadiran kuasa raja dan kepentingan etnik Melayu dalam politik negara ini tetap menjadi relevan walau apa jua bentuk konsolidasi politik sama ada baharu atau lama.

Namun demikian sudah pasti komentar-komentar rakyat mula menyentuh dan membahas prinsip demokrasi yang tidak berjalan dengan baik. Namun acuan demokrasi negara ini yang seharusnya difahami iaitu Raja Berperlembagaan dan demokrasi Berparlimen.

Dua bentuk struktur politik negara yang perlu dilihat dan difahami bersama dan bukan secara berasingan. Jika semua pihak memahami prinsip struktur ini sudah pasti kemelut ini dapat dielakkan dan dasar awam yang digubal akan lebih baik dan harmoni.

Justeru semua parti politik dan sosialisasinya akan bertambah baik juga apabila mereka melihat diri mereka sebahagian dari Bangsa Malaysia.

 

PENULIS adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Pahang

Show More

Related Articles

Back to top button