Politik

Peguam bukan cabar darurat, tapi cabar gantung Parlimen

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar menegaskan barisan peguam akan mencabar keputusan kerajaan untuk menggantung Sidang Dewan Rakyat di mahkamah.

Anwar memperbetulkan salah tanggapan beberapa pihak kononnya barisan peguam yang disediakannya itu bagi mencabar Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ketua Pembangkang itu, barisan peguam itu akan membawa kes tersebut esok atau lusa.

“Juak-juak ini dia belum baca, belum tahu apa yang hendak kita kemukakan terus dia kata salah dari segi undang-undang, bertentangan dengan Perlembagaan.

“Apa yang hendak kita ajukan ke mahkamah bukan darurat tetapi keperluan meneruskan dengan sidang Dewan Rakyat.

“Kita nak ajukan kepada mahkamah mungkin esok atau lusa oleh barisan peguam atas permintaan saya dan rakan-rakan dari Pakatan Harapan, adalah untuk memastikan mahkamah memutuskan supaya Parlimen dapat bersidang terus. Tanpa menyentuh soal darurat,” kata Anwar dalam sidang akhbar hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pihak yang mahu mengkritik tindakannya menyediakan pasukan peguam perlu mendengar dahulu apa yang akan dibentangkan oleh mereka di mahkamah.

“Orang yang ingin mempertikai keputusan kita harus melihat dahulu apa yang mahu diajukan oleh barisan peguam bagi pihak kami iaitu untuk menekankan keperluan adanya Parlimen

“Sebab apa? Sebab perkara rakyat boleh dibahaskan. Sebab apa? Sebab keterlanjuran kerajaan boleh diperbetulkan. Sebab apa? Sebab beberapa kelemahan usaha menangani masalah Covid-19 ini dapat diperbetulkan.

“Lebih penting prinsip tatakelola yang baik yang dilaksanakan. Kita tidak mahu digunakan peluang darurat ini tanpa semak dan imbang dan boleh mereka lalukan sewenang-wenangnya,” kata Anwar.

Pada 17 Januari lalu, media melaporkan, Anwar akan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan di mahkamah.

Dalam laporan itu, Anwar mendakwa, proklamasi darurat itu sebagai langkah terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas kukuh, sehingga melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.

“Sudah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat dari salahguna kuasa.

“Pasukan peguam sudah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin),” katanya dalam satu kenyataan (17 Januari).-SM

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button