
Polis telah rekod keterangan tiga anak Pamela Ling
KUALA LUMPUR: Polis telah merekodkan keterangan daripada tiga anak Pamela Ling semalam bagi membantu siasatan berhubung kehilangannya bulan lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata kenyataan diperoleh daripada tiga anaknya yang berumur antara 18 dan 20 tahun di ibu pejabat polis Woodlands di Singapura.
Tambahnya, polis turut merekodkan kenyataan seorang kenalan keluarga di Singapura, menjadikan jumlah individu yang disoal siasat dalam kes itu kepada 42 orang.
“Maklumat yang diperolehi dapat membantu siasatan terutama berhubung pergerakan terakhirnya yang diketahui masih berhubung dengan ahli keluarga pada 8 dan 9 April lalu.
“Siasatan masih diteruskan,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk memberi kenyataan bagi siasatan berterusan terhadap dakwaan rasuah dan kesalahan pengubahan wang haram.
Pada Mei tahun lalu, SPRM membuka siasatan terhadap kes yang didakwa melibatkan Ling dan suaminya, ahli perniagaan Sarawak Hah Tiing Siu.
Rusdi berkata walaupun tiada rekod Ling meninggalkan negara ini, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan kemungkinan dia diseludup keluar negara.
“Bagaimanapun, kemungkinan besar dia masih berada di negara ini,” tambahnya.
Sementara itu, Rusdi berkata Hah dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat selepas dia ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan penculikan atau kurungan yang salah.
“Kami tidak boleh menganggap dia sebagai suspek lagi, tetapi dia boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk soal siasat lanjut jika ada perkembangan baharu,” tambahnya.