Ekonomi

Pakar ekonomi jangkakan dividen KWSP sebanyak 5.2%-6%

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengisytiharkan pembayaran dividen yang lumayan untuk 2021, antara 5.2% dan 6% berikutan pelaburan kasar dana yang lebih tinggi dan prestasi pasaran modal yang lebih baik, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaburan kasar KWSP bagi sembilan bulan pertama 2021 sudah 7.7% lebih tinggi tahun ke tahun pada RM48.02 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2020.

“Dari segi itu, mungkin ada kemungkinan kadar dividen boleh lebih baik daripada 2020. Saya fikir ia sekurang-kurangnya sepadan dengan paras 2020, jika tidak lebih baik,” katanya kepada Bernama dan menganggarkan bahawa dividen mungkin antara 5.2 % dan 5.4% untuk 2021.

Pada 2020, pengurus dana persaraan mengisytiharkan dividen sebanyak 5.2% dengan pembayaran berjumlah RM42.88 bilion untuk simpanan konvensional dan 4.9% untuk simpanan syariah, dengan pembayaran berjumlah RM4.76 bilion.

Afzanizam berkata peluang untuk kadar dividen yang lebih baik pada 2021 adalah lebih tinggi sekiranya pendapatan korporat pada suku keempat menjadi lebih baik.

Tambahan pula, KWSP juga telah mempelbagaikan portfolionya ke pasaran luar negara dan pendapatan daripada ekuiti asing telah memberi sumbangan besar kepada jumlah pendapatannya, katanya.

“Jadi strategi kepelbagaian portfolio mereka telah benar-benar membuahkan hasil dan ia boleh diterjemahkan kepada kadar dividen yang mampan pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai pengeluaran khas di bawah kemudahan i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra KWSP, Afzanizam berpendapat bahawa pengeluaran itu berkemungkinan tidak akan memberi kesan yang teruk kepada prestasi dividen.

Beliau memerhatikan bahawa ekonomi telah mampu berkembang pada 2021 dan kadar pengangguran telah menurun kepada 4.2% pada Disember 2021 daripada setinggi 5.3% pada pertengahan 2020.

Oleh itu, caruman baharu daripada ahli KWSP, bersama dengan aset pelaburan yang matang, akan membantu mengimbangi trend pengeluaran.

Profesor ekonomi di Kolej Universiti i-CATS Kuching, Shazali Abu Mansor, menjangkakan kadar dividen KWSP adalah antara 5.5% setiap dan 6.0% memandangkan prestasi pelaburan yang lebih baik.

“Dividen sepatutnya meningkat seiring dengan pendapatan. Ia sepatutnya lebih daripada 5.2% untuk 2021, jika kurang daripada itu maka ia tidak wajar,” katanya.

Ketua ekonomi dan ketua penyelidikan Kumpulan Ambank Anthony Dass berkata walaupun terdapat beberapa cabaran domestik, prestasi keseluruhan pasaran modal tempatan adalah menggalakkan, justeru pembayaran dividen dijangka berlegar antara 5.45% dan 6%.

“Dengan ekonomi mula pulih, lebih ramai orang akan diambil bekerja dan pada masa yang sama lebih banyak pekerjaan akan diwujudkan daripada barisan perniagaan baharu yang akan membina semula simpanan KWSP,” katanya.

“Bagaimanapun, untuk tahap simpanan mencapai status 2019, ia bergantung kepada berapa banyak caruman masa depan yang boleh mereka masukkan ke dalam KWSP.”

 

(Visited 465 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button