Jenayah

Polis tahu ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’, ‘Datuk’ jadi tauke dadah

POLIS mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang berselindung di sebalik status “Tan Sri”, “Datuk Seri” dan “Datuk”, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan sah menyebabkan polis sukar mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Tetapi, saya akan pastikan mereka ini akan masuk (penjara), walaupun saya tahu statusnya tinggi bergelar Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri…saya akan berusaha, perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ini akan terungkai dan mereka akan didakwa.

“Paling tidak pun saya akan ambil tindakan di bawah Poca (Akta Pencegahan Jenayah 1959),” katanya selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat.

Hamid berkata, sudah tiba masanya kegiatan golongan itu didedahkan dan dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang merosakkan ribuan orang akibat terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

“Beribu masyarakat rosak disebabkan perbuatan mereka hendak mendapatkan keuntungan secara haram ini dan sudah berapa ramai yang masuk penjara, berapa ramai warga polis dihukum disebabkan menerima rasuah untuk beri perlindungan menutup kegiatan tauke-tauke dadah ini.

“Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik ‘title’ yang mereka itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang kononnya sah, tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah.”

Beliau turut memberi jaminan polis di setiap peringkat daerah dan negeri akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berhubung sindiket pengedaran serta penyeludupan dadah itu bagi memastikan setiap rangkaian sindiket dari atas hingga bawah ditumpaskan.

Mengulas laporan berhubung kejadian seorang pegawai dan lima anggota polis ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh semalam, Hamid berkata: “Saya ingatkan kepada warga PDRM bahawa tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan pastikan mereka dihukum.”

(Visited 375 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button