Nasional

Banjir Sabah: Laluan kereta api Tenom-Halogilat tenggelam

PERKHIDMATAN kereta api bagi laluan Tenom-Halogilat ditutup buat sementara waktu kerana kerosakan teruk pada landasan akibat banjir berikutan hujan lebat melanda negeri ini sejak semalam.

Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Leonard Poyong, ketika dihubungi Bernama, berkata operasi perkhidmatan bagi laluan berkenaan akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan landasan akan dilakukan oleh kontraktor iaitu Suria Capital Holdings Berhad yang sedang melaksanakan projek menaik taraf landasan Tenom-Halogilat.

“Hari ini, perkhidmatan kereta api hanya beroperasi di sektor Beaufort-Papar-Halogilat. Perkhidmatan kereta api bagi sektor Kota Kinabalu-Beaufort tergendala pagi tadi dan akan dipulihkan selepas banjir di Kinarut beransur pulih serta landasan selamat untuk dilalui,” katanya hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah, Datuk Donald Hanapi berkata operasi pengusaha bas ekspres di negeri ini tidak menghadapi sebarang masalah dan berjalan seperti biasa setakat ini.

Bagaimanapun, Donald berkata, pihaknya turut bimbang sekiranya berlaku tanah runtuh di kawasan-kawasan berbukit memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Jika ada tanah runtuh, pemandu bas akan membuat lencongan dengan melalui mana-mana laluan alternatif,” katanya.

Ekoran hujan lebat semalam, sebanyak 10 daerah di negeri ini terjejas oleh banjir iaitu Kota Belud, Tuaran, Putatan, Penampang, Papar, Beaufort, Keningau, Tenom, Kota Marudu dan Pitas.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengarahkan agar semua daerah yang dilanda banjir mengaktifkan jawatankuasa bencana bagi memastikan kawasan terbabit dapat diurus dengan baik.

Beliau berkata setiap pegawai daerah yang terlibat  perlu bekerjasama dengan semua agensi yang ada untuk memastikan masalah berkenaan dapat ditangani dengan baik.

“Untuk mengatasi masalah ini terdapat beberapa perkara yang perlu diutamakan iaitu keselamatan penduduk. Kita perlu memastikan semua penduduk di kampung yang terjejas banjir selamat…selain itu kita perlu memastikan makanan mereka mencukupi.

Kerajaan juga akan memastikan mereka mendapatkan bekalan air bersih yang mencukupi…kerana apabila air tidak mencukupi banyak masalah yang timbul seperti wabak penyakit kolera,” katanya ketika meninjau kawasan banjir dan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Penampang,hari ini.

Mohd Shafie berkata jawatankuasa bencana di peringkat pusat juga telah diarahkan untuk memantau keadaan banjir di semua daerah terlibat.

“Kita akan pastikan PPS juga berada dalam keadaan yang baik…saya minta agar kesihatan di PPS diberi keutamaan. Saya yakin kita dapat tangani masalah banjir ini dengan baik sekiranya semua pihak memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Beliau berkata  Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah juga telah diarahkan untuk segera memperbaiki semua jalan atau jambatan yang rosak akibat banjir.

“Saya telah minta agar jalan runtuh, jambatan gantung rosak dan sebagainya dapat dibaiki dengan segera. Saya minta kementerian berkenaan ambil tindakan serta merta demi kebaikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata antara punca yang menyebabkan banjir di beberapa daerah di negeri ini ialah sistem perparitan yang tidak teratur.

“Selain itu terdapat pelan mitigasi banjir terbantut seperti di kawasan Penampang dan kita akan mencari jalan untuk mempercepatkan tindakan agar masalah itu dapat diselesaikan dengan segera. Semua parit yang tidak teratur perlu diperbaiki dan sungai juga perlu dilebarkan,” katanya. – BERNAMA

(Visited 646 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button