Nasional

Raja Muda Perlis terima mengadap KP Pendaftaran

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Haji Jasri Kasim dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Padang Besar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Perlis, Mohd Nasharuddin Mat Yusof dan Komander AKSEM Padang Besar ASP Khairul.

Turut hadir ialah Mufti Negeri, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Yang Amat Arif Ibrahim Deris dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Dr Hazman Hassan.

Kunjungan Ruslin ke Perlis adalah bersempena dengan ‘Mesyuarat Bersama-Sama Ketua-Ketua Agensi Agama Islam Negeri Perlis 2020’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sementara itu, dalam satu program berkaitan sejurus selepas itu yang diadakan di Masjid Salehuddin Al-Ayyubi Padang Besar, Tuanku Raja Muda turut berkenan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Perlis, Riddual Ahmad yang antara lain memaklumkan bahawa ‘Pendaftaran’ adalah penting kerana berfungsi untuk merekod segala sejarah penting setiap individu warganegara Malaysia bermula dari hari lahir sehinggalah beliau meninggal dunia.

Menurut beliau, perkara utama yang perlu direkodkan adalah ketika kelahiran yang perlu didaftarkan dengan kadar segera dalam tempoh 60 hari, ketika berusia 12 tahun wajib memohon kad pengenalan kali pertama dalam tempoh 3 tahun, dan dikehendaki menukar semula kad pengenalannya apabila telah mencapai umur 18 tahun. Sekiranya penukaran ini dibuat dalam tempoh umur 18-25 tahun, tiada sebarang denda akam dikenakan.

Tambah Riddual, dalam masa yang sama, turut diberikan peluang untuk memohon warganegara dengan syarat:

1. Pemohon hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Warganegara semasa mengemukakan permohonan.

2. Pemohon hendaklah berumur 21 tahun ke atas pada tarikh permohonan dikemukakan.

3. Pemohon telah bermastautin dalam Persekutuan selama tempoh kesemuanya tidak kurang daripada 10 tahun dalam 12 tahun termasuk 12 bulan terdahulu pada tarikh permohonan dikemukakan.

4. Pemohon berniat untuk bermastautin dalam Persekutuan selama-lamanya.

5. Pemohon berkelakuan baik.

6. Pemohon mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai.

7. Pemohon hendaklah ditaja oleh dua orang penyokong bertaraf warganegara berumur 21 tahun ke atas, tiada talian persaudaraan, bukan orang yang diupah atau peguambela atau peguamcara dengan pemohon. serta

8. Mengisi Borang C dengan lengkap dan sertakan salinan dokumen yang perlu dibawa bersama.

Pihak Jabatan Pendaftaran Negara yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri meminta sekiranya rakyat menghadapi sebarang masalah atau isu berkaitan pendaftaran bolehlah tampil segera ke pejabat cawangan JPN yang terdekat.

(Visited 726 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button