Nasionalpilihan

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tamatkan penantian 45 tahun bergelar juara dunia

Kejohanan Badminton Dunia 2022 Tokyo, Jepun

Selepas 45 tahun akhirnya Malaysia bergelar juara Dunia 2022 apabila beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan pingat emas pertama buat negara selepas muncul juara di Kejohanan Badminton Dunia BWF di Tokyo, Jepun hari ini.

Di Pusat Gimnasium Metropolitan, Tokyo Chia-Wooi Yik menggegar dengan corak permainan mantap apabila menyingkirkan beregu berpengalaman dari Indonesia, Hendra Setiawan-Mohamad Ahsan menerusi kemenangan 21-19, 21-14 dalam aksi final.

Kemenangan itu amat bermakna buat Chia anak kelahiran Melaka dan Wooi Yik dari Kuala Lumpur menghadiahkan kejayaan yang sekian lama dinanti-nantikan buat pemain negara bergelar juara dunia dan lebih manis tiga hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan ke-65.

Selepas menamatkan badi separuh akhir apabila menyingkirkan beregu dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan keputusan 20-22, 21-18, 21-16, beregu negara mempamerkan corak pertahanan dan serangan yang memerangkap pemain berpengalaman dari Indonesia.

Kejayaan buat beregu utama negara itu selepas mereka memperoleh pingat emas dalam acara berpasukan campuran dan meraih gangsa acara beregu di Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini.

Bertemu Setiawan-Ahsan, ia merupakan aksi ulangan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 Tokyo ke atas gandingan yang diberi julukan ‘The Daddies’ itu.

Ketinggalan 7-10 pada set pertama, Chia-Wooi Yik mengubah corak permainan bertahan kepada menyerang dengan pukulan smash yang sering memerangkap Setiawan-Ahsan untuk menenang 21-19.

Momentun itu diteruskan pada set kedua dengan keyakinan kedua-dua pemain negara itu hingga menamatkan cabaran dengan kemenangan 21-14.

Bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Abdul Rashid Sidek berkata, sudah terlalu lama Malaysia dahagakan kemenangan di kejuaraan Dunia dalam tempoh 45 tahun akhirnya disumbangkan oleh Chia-Wooi Yik.

“Ramalan saya bahawa akan ada juara milik Malaysia di Tokyo, Alhamdulillah ia dibuktikan oleh beregu utama negara.

“Saya harap kejayaan ini menjadi pendorong kepada pemain lain untuk mengikut jejak langkah Chia-Wooi Yik. Sebelum ini banyak negara jiran kita telah merangkul gelaran juara dunia.

“Ini juga hadiah paling bermakna sempena sambutan Kemerdekaan Negara ke-65. Saya kagum dengan corak permainan padu dan mantap dipamerkan mereka berdepan jaguh dari Indonesia,” ujarnya. – SM

(Visited 464 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button