Nasional

Pengusaha restoran sajikan Menu Rahmah realisasi hasrat kerajaan bantu golongan B40

MENU Rahmah dizahirkan daripada hasrat suci Kerajaan Perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani dalam memastikan rakyat, terutama golongan B40 masih mampu menikmati makanan seimbang dengan harga serendah RM5.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan konsep ini di bawah inisiatif Payung Rahmah yang diyakini menerima sambutan baik daripada pengusaha makanan di seluruh negara dan rakyat golongan sasar.

“Kerajaan amat berterima kasih kepada semua peniaga walaupun dengan keuntungan kecil tapi tetap bersama membantu rakyat. Semoga ini menjadi teladan untuk semua,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Menu Rahmah dilancarkan serentak pada 31 Januari dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah bergerak aktif menyantuni kalangan pengusaha restoran atau makanan agar sama-sama, menjayakan inisiatif ini.

Suara Merdeka telah menemui beberapa pengusaha restoran dan kedai makan yang masih menyahut seruan ini dengan menawarkan Menu Rahmah sejak dilancarkan di Perlis Februari lalu.

Juga tinjauan dibuat dalam kalangan rakyat dari pelbagai golongan B40 bagi melihat sejauh mana Menu Rahmah ini dilihat sebagai “hadiah istimewa” oleh kerajaan untuk mereka.

Rata-rata pengusaha restoran dan kedai makan di Perlis mengakui akan terus menawarkan Menu Rahmah sebagai bukti bersama-sama merealisasikan hasrat kerajaan ini.

Pemilik Restoran Mat Rock Der di Pulau Ketam, Kuala Perlis, Rosmadi Mat Isa, 55, berpuas hati kerana sejak pelancaran Menu Rahmah oleh pihak Pejabat KPDN Perlis pada 16 Februari lalu masih berterusan mendapat sambutan.

“Seperti matlamat kerajaan, Menu Rahmah untuk golongan B40, setakat ini kebanyakannya golongan mahasiswa dilihat banyak merebut peluang ini,” katanya.

Rosmadi berkata, tiga Menu Rahmah yang ditawarkan iaitu nasi putih dengan shellout, nasi putih dengan ayam kunyit, telur dadar dan nasi putih, daging “black pepper” dan telur dadar yang kesemuanya dihidangkan dengan minuman sirap.

Beliau sanggup mengenepikan sedikit keuntungan asalkan golongan tidak mampu boleh datang makan di Mat Rock Der dengan bayaran serendah RM5.

Pemilik Restoran Bekwoh, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, 38, berkata, tiga pilihan menu iaitu nasi ayam cincang, nasi telur berlada dan nasi gulai termenung yang setiap menu disajikan bersama sirap masih menunggu pelanggan B40 setiap hari.

“Kita akan terus menawarkan Menu Rahmah ini sebagai menyahut seruan kerajaan untuk membantu dan sekali gus, memastikan golongan ini  dapat menikmati makanan seimbang walaupun tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya yang merupakan seorang doktor  swasta.

Atas sebab itu beliau menyahut seruan kerajaan menawarkan Menu Rahmah supaya rakyat khususnya para pelajar yang bakal menerajui kepimpinan negara menjadi warga yang sihat.’

“Soal keuntungan besar kita ketepikan dengan penawaran Menu Rahmah ini asalkan golongan B40 masuk ke Bekwoh dan pulang dengan perut kenyang,” katanya.

Begitu juga pemilik kedai makanan Affa Bintong, Norafina Zulkifli, 34, yang masih meneruskan Menu Rahmah.

“Nasi putih dan kubis goreng yang digandingkan dengan gulai ikan kembung, keli goreng, kurma daging dan ayam goreng adalah pilihan Menu Rahmah di sini,” kata Norafina.

Sementara itu seorang pekerja swasta yang ditemui, Razali Ibrahim, 31, mengakui Menu Rahmah adalah pilihannya sebagai golongan B40 kerana ia menjimatkan perbelanjaan harian.

“Kalau diikutkan makan tengah hari boleh mencecah RM10 dan begitu juga dengan makan malam tetapi semua ini dapat dijimatkan dengan adanya tawaran Menu Rahmah,” kata pemuda ini yang giat mengumpul duit untuk membina ikatan perkahwinan tidak lama lagi.

Begitu juga dengan pelajar Abdul Rahman Mohd Taib, 19, beliau menyifatkan Menu Rahmah sebagai bukti kerajaan prihatin terhadap nasib golongan pelajar kelompok B40 sepertinya.

“Saya bersyukur kerana masih mampu menikmati makanan yang seimbang supaya dapat meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang,” katanya.

Sebagai pelajar yang sedang menjalani latihan amali di sebuah jabatan kerajaan, Faradiana Anis Mohd Hashim, 23, mengakui bahawa Menu Rahmah sangat membantunya yang menghadapi kekangan kewangan.

“Menu Rahmah tetap sedap bagi kami yang kurang berkemampuan. Asalkan makanan dalam Menu Rahmah dapat membekalkan tenaga dan badan yang sihat, saya amat menghargai dan bersyukur,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Beliau melihat Menu Rahmah sebagai “penyelamat” kepada golongan B40 kerana makanan yang disajikan bukan sahaja mengenyangkan tetapi seimbang dari sudut nutrisi.

Realitinya selepas kerajaan mengumumkan Payung Rahmah, Menu Rahmah berjaya memayungi rakyat yang kurang mampu dari segi kewangan tetapi tidak berkompromi dalam soal hidup sihat dan cergas. – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button