Nasional

Polis rekod kenyataan Abdul Hadi selepas 28 laporan dibuat terhadapnya

Kenyataan Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan yang dibuatnya mendakwa bahawa bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca rasuah di negara ini.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata dalam satu kenyataan ringkas bahawa Abdul Hadi datang ke Bukit Aman pada Isnin untuk memberi keterangan selepas 28 laporan polis dibuat terhadapnya.

“Beliau hadir bersama peguamnya dan memberi kerjasama sepanjang sesi pengambilan kenyataan,” katanya sambil menambah siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Bukit Aman.

Dilaporkan terdapat sebanyak 28 laporan polis dibuat terhadap ahli parlimen Marang itu berhubung kenyataannya itu dan beliau akan dipanggil bagi memudahkan siasatan polis.

Abdul Hadi, dalam satu kenyataan minggu lalu berkata memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah adalah satu bentuk khianat yang boleh memusnahkan negara dan dunia.


Beliau juga mendakwa bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah “akar rasuah” di negara ini.

Skandaguru berkata ketika siasatan masih dijalankan, orang ramai perlu mengelak daripada membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.

Dilaporkan juga bahawa USJT dan Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 505© Kanun Keseksaan, kerana niat menghasut atau yang berkemungkinan menghasut mana-mana golongan atau komuniti orang untuk melakukan apa-apa kesalahan terhadap mana-mana kelas atau komuniti orang lain.

Siasatan terhadap Abdul Hadi turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana berkongsi kandungan yang menyinggung perasaan dan mengancam.

 

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button