JenayahNasionalNegeri

Polis Pulau Pinang rampas dadah bernilai RM25.87 juta, dua suspek ditahan

POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki tempatan dan merampas 573 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM25.87 juta dalam satu siri serbuan di Nibong Tebal bermula Isnin sehingga Rabu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, rampasan dadah itu adalah yang pada tahun ini.

Beliau berkata, bertindak atas hasil maklumat dan risikan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan melancarkan operasi bermula pukul 7 malam hari Isnin sehingga pukul 11 malam Rabu.

“Lelaki pertama berusia 37 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Taman Perindustrian Nibong Tebal. Hasil pemeriksaan ke atas keretanya menemukan 100 bungkusan dipercayai mengandungi dadah jenis syabu bernilai RM4.67 juta.

“Siasatan mendapati lelaki itu merupakan dalang utama sindiket dan sedang menunggu pelanggannya di lokasi tempat dia ditahan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal ke atas lelaki itu, polis menyerbu sebuah premis kedai yang juga terletak di kawasan Taman Perindustrian Nibong Tebal.

Premis itu dijadikan stor menyimpan pelbagai jenis dadah dan polis berjaya merampas dadah jenis syabu, serbuk dan pil ecstacy, heroin base serta ketamin yang kesemuanya bernilai RM21.19 juta, kata Sahabudin.

Sahabudin menambah, polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun di kawasan Nibong Tebal.

“Lelaki yang ditahan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah yang telah beroperasi sejak pertengahan tahun ini,” ujarnya.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati kesemua dadah itu dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran dan transit di Nibong Tebal sebelum dihantar untuk pasaran di Kuala Lumpur serta Selangor.

“Dalam siri serbuan itu, kami merampas 400.8 kg syabu, 78.9 kg serbuk ecstacy, 91.3 kg pil ecstacy, 1.49 kg heroin base dan 306 gram ketamine.

“Kesemuanya bernilai RM25.87 juta. Polis turut menyita sebuah kereta, wang tunai, barang kemas dan duit dalam akaun yang kesemuanya dianggarkan RM243,231.82,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki pertama yang ditahan iaitu suspek pertama tidak bekerja, mempunyai tiga rekod lampau berkaitan narkotik selain turut positif dadah.

Sementara suspek kedua yang ditahan, kata Sahabudin, bekerja sebagai penjual dalam talian  dan tiada rekod lampau atau positif dadah.

Kedua-duanya kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sepanjang tahun ini pihak polis telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM48.67 juta termasuk kes terbaharu itu,” katanya. – SM

 

(Visited 389 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button