Nasional

Polis Perlis mohon kerjasama masyarakat banteras penyalahgunaan ketum

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis memohon masyarakat sentiasa memberikan kerjasama padu kepada segala tindakan yang dilaksanakan oleh pihak polis demi keselamatan negeri dan negara.

Sebagai contoh, operasi menebang pokok ketum di kawasan FELDA di seluruh Perlis adalah berdasarkan Seksyen 33 Akta Racun 1952 dan Akta Penempatan Berkelompok 1960.

Tindakan sebegini adalah demi kebaikan semua pihak dan bagi memelihara masa hadapan generasi anak bangsa negeri ini. PDRM Perlis amat mengharapkan sokongan daripada kepimpinan serta masyarakat di segenap peringkat.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Perlis SAC Datuk Surina Saad di akhir program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke-49 bagi tahun 2020’ di Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM di pesisir pantai Bukit Putih Kuala Perlis pada semalam.

Dalam menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda untuk melihat ‘Rakyat Perlis Hidup Selamat’, Surina juga memohon agar pihak PGA PDRM yang ditugaskan ke Perlis agar dapat membantu memperkukuhkan lagi Ops Benteng dalam menjaga keselamatan negara khususnya dalam isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pandemik Covid-19 dan juga penyeludupan.

Bersempena program tersebut kali ini Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan singgah menyerahkan agihan zakat MAIPs dan juga sumbangan ikhlas warga PDRM Perlis kepada dua keluarga asnaf terpilih di Kampung Perak dan juga Kg Seberang Ramai di Kuala Perlis.

Terdahulu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan ‘MAIPs Peduli’ dan ‘Prihatin PDRM’ kepada isteri salah seorang anggota Polis yang menderita penyakit barah di kediaman beliau di Kg Bangsal Lebah.

Selain Surina, hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari a/l Kiew.

(Visited 529 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button