Politik

Akhirnya Steven Sim ambil tindakan mahkamah, tohmahan terhadap beliau bantu penghantar makanan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff atas tuduhan fitnah.

Sim berkata, beliau mengakui amat terkesan dengan fitnah dan tohmahan berhubung bantuannya yang menghadiahkan sebuah motosikal kepada seorang pemuda ‘rider’ Foodpanda baru-baru ini.

Menurutnya, tuduhan tersebut bukan sahaja merosakkan imejnya sebagai seorang Ahli Parlimen, malah ia jelas bertujuan mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama dalam masyarakat.

“Walaupun diminta oleh orang ramai untuk mengambil tindakan, saya tidak buat apa-apa. Namun, beliau pula tidak berhenti-henti membuat tuduhan yang tidak berasas.

“Beliau dengan tanpa rasa kesal juga mencabar saya mengambil tindakan saman terhadap diri beliau.

“Justeru, demi kemaslahatan masyarakat Malaysia dan sebagai teladan kepada semua agar menjaga keharmonian kaum di negara ini, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Kamarul Zaman Yusoff dan pihak lain yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini kecoh apabila Kamarul memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan daripada “mubaligh Kristian”

Ia susulan tindakan Sim yang membantu seorang pemuda dengan menghadiahkan sebuah motosikal dan menjadi tular di media sosial.

Sim sebelum ini turut melahirkan rasa sedih kerana apa yang dilakukannya itu dijadikan isu perkauman dan agama susulan tindakan Kamarul.

(Visited 626 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button