
Polis Perhalusi Motif Kehilangan Pamela Ling di Thailand
POLIS tidak menolak kemungkinan penculikan wanita warga Malaysia, Pamela Ling, di Thailand baru-baru ini mempunyai unsur perancangan yang teliti.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan masih dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand dan maklumat lanjut akan dikongsi selepas mendapat perkembangan terkini.
“Kita tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk penculikan ini dirancang lebih awal,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Pamela sebelum ini dilaporkan hilang di Bangkok sebelum ditemui semula dalam keadaan selamat. Kejadian tersebut mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan ramai netizen mempersoalkan bagaimana wanita itu boleh ‘hilang’ dan kemudiannya ‘ditemui’ secara tiba-tiba.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihak polis akan memastikan segala aspek disiasat, termasuk motif dan pihak-pihak yang terlibat.
Setakat ini, beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Thailand.