NasionalNegeri

125 peserta sertai projek pertanian PEH di Perlis

KERAJAAN Negeri Perlis hari ini menerima peruntukan berjumlah RM750,000 bagi melaksanakan projek pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) yang  melibatkan 125 peserta.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, peruntukan di bawah projek jaminan bekalan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi fasa pertama ini khusus untuk golongan asnaf, berpendapatan rendah atau B40 dan belia yang berumur dari 18 sehingga 40 tahun.

MENTERI Besar Perlis, Mohd Shukri membelek tanaman sayuran sawi hidroponik yang dipamerkan pada pelancaran Projek Pertanian PEH Jabatan Pertanian Perlis, hari ini.

“Kos yang disalurkan bagi setiap peserta adalah RM5,500 dengan jumlah keseluruhan RM750,000 yang meliputi kursus, latihan dan pemasaran,” katanya,.

Menteri Besar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PEH Jabatan Pertanian Perlis di Kompleks Bukit Temiang, Beseri, hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian dan  Industri Asas Tani, Razali Saad dan Pengarah Pertanian, Hafizuddin Othman.

Mohd Shukri berkata, setiap peserta dijangka akan dapat menghasilkan 73.2 kilogram (kg) sayuran sawi untuk satu pusingan tanaman dengan anggaran hasil RM292.80.

“Hasil jualan ini diharapkan dapat digunakan semula oleh peserta untuk dijadikan modal permulaan bagi pusingan tanaman yang berikutnya,” katanya.

Mohd. Shukri berkata, inisiatif secara “one-off” oleh kerajaan negeri ini amat memerlukan komitmen yang tinggi daripada para peserta.

“Ini bagi memastikan kesinambungan projek ini dan ia bukannya diusahakan hanya untuk satu pusingan sahaja,” ujar beliau.

MENTERI Besar, Mohd Shukri (tiga dari kiri) bersama penerima sijil PEH dan usahawan pemasar di Kompleks Bukit Temiang, Beseri, Perlis.

Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan projek pertanian PEH ini agar mampu menghasilkan sayur-sayuran berdaun sebanyak 9.15 metrik tan bagi setiap pusingan tanaman dengan nilai pengeluaran RM36,600.

“Jika ia mencapai 10 pusingan maka 91.5 metrik tan sayur-sayuran berdaun akan dapat dikeluarkan dengan keseluruhan nilai pengeluaran RM366,000 bagi tempoh setahun,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi kemudahan pemasaran sayuran ini untuk setiap peserta PEH, pihak Jabatan Pertanian telah bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di mana 14 usahawan pemasar telah dilantik.

Menteri Besar berkata, jumlah keseluruhan perbelanjaan insentif untuk usahawan pemasar ini adalah sebanyak RM26,040.

Jumlah itu, katanya, adalah bagi menyediakan keperluan peralatan seperti khemah perniagaan, bakul dan penimbang digital yang merupakan peralatan penting dalam menguruskan jualan hasil atau pemasaran nanti.  – SM

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button