JenayahNasionalNegeri

Polis patahkan cubaan seludup 50 kg ganja bernilai RM125,000 di Chuping

NEKAD sungguh penyeludup dari negara jiran sanggup memotong dawai pagar sempadan asalkan dapat memboloskan diri.

Sekalipun suspek ini gagal dicekup tetapi ganja mampat seberat 50 kilogram (kg) bernilai RM125,000 yang dibawa masuk ke negara ini berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kegiatan penyeludupan ini berjaya dikesan oleh pegawai dan anggota Polis Gerakan Am (PGA) Batalion3 ketika melakukan rondaan di kawasan sempadan Perlis-Thailand, Chuping pada pukul 5.30 pagi semalam.

Katanya, pasukan ini telah menemui dua guni plastik yang berisi 50 ketulan mampat yang dipercayai ganja dalam plastik lutsinar dan kertas putih di dalam semak pada tempat kejadian.

Katanya, pasukan berkenaan melakukan pemantauan selama dua jam untuk mengesan jika berlaku sebarang pergerakan pada ketika itu.

“Suspek ini dipercayai telah memikul dua guni ganja ini sejauh kira-kira satu kilometer dari pagar sempadan sebelum dihumbankan ke dalam semak,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar petang ini.

Bagaimanapun katanya, kemungkinan pihak yang sepatutnya datang mengambil barang terlarang ini telah menyedari akan kehadiran pihak berkuasa.

Mohd Shokri berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini berjaya ditumpaskan.

Katanya, rampasan ganja itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa jenis dan berat.

Katanya lagi, kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Mohd Shokri meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyeludupan dadah di talian hotline +60 4942222. – SM

(Visited 266 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button