Jenayah

Polis Nafi Mayat Wanita Di KESAS Milik Pamela Ling

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa mayat wanita yang tercampak keluar dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran R&R Awan Besar pada Isnin lalu bukan milik individu yang sedang hangat diperkatakan, Datin Seri Pamela Ling Yueh.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan wanita berusia 44 tahun yang beralamat di Menglembu, Ipoh, Perak.

“Pihak polis menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.58 petang daripada orang awam yang memaklumkan ternampak seorang wanita terjatuh daripada sebuah van yang sedang bergerak laju.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, van berkenaan dipercayai melarikan diri selepas insiden tersebut dan usaha mengesan pemandunya sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Aidil turut menepis dakwaan yang tular di media sosial kononnya mayat tersebut adalah milik Pamela Ling, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 9 April ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi atau berita tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” tegasnya.

Polis kini sedang menyiasat motif kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button