NasionalNegeri

Polis Kangar rampas mercun, bunga api RM70,000, rokok RM100,000

BERSELINDUNG sebagai peniaga menjual peralatan alat tulis dan keperluan harian, rupa-rupanya suspek mempunyai setor bagi menyimpan mercun dan bunga api secara haram.

Perancangan peniaga berusia 54 tahun ini supaya dapat menjual mercun dan bunga api ini pada musim perayaan Aidilfitri nanti telah berjaya digagalkan oleh pihak polis.

Sebahagian mercun dan bunga api pelbagai jenis tanpa permit dirampas di Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Assisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar telah melakukan serbuan ke atas setor simpanan milik peniaga berkenaan di Jalan Bukit Lagi, Kangar pada 21 Mac pada pukul 5 petang.

“Pihak kami menemui 36 kotak besar di mana di dalamnya mengandungi 1,560 kotak kecil, 140 bungkusan besar dan kecil serta 15 ikatan mercun dan bunga api pelbagai jenis yang bernilai RM70,000,” katanya pada sidang media di IPD Kangar hari ini.

Beliau berkata, dipercayai suspek telah membelinya secara pukal dari pembekal sejak dua minggu lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Lelaki berkenan yang direman sehingga esok ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Sehubungan itu, Yushariffudin memberi amaran supaya mana-mana individu supaya pastikan mendapatkan premit membeli, menyimpan dan menjual mercun serta bunga api daripada pihak polis yang dikeluarkan pada bulan Ramadan ini.

Pelbagai jenama rokok tiada duti Kastam yang berjaya dirampas.

Selain itu katanya, serbuan telah dilakukan ke atas sebuah kedai runcit di Jalan Padang Behor, Kangar pada 20 Mac, pukul 5 petang di mana membawa kepada penemuan 49 karton rokok pelbagai jenis tanpa duti kastam.

Hasil susulan siasatan ini, kata Yusharifuddin ia membawa kepada rampasan lebih besar apabila 473 karton rokok pebagai jenama tanpa duti Kastam ditemui di sebuah rumah di Taman Sentosa di Kuala Perlis.

Katanya, kesemua nilai rampasan rokok pelbagai jenama ini berjumlah RM100,000.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1976 boleh didenda 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,00 yang mana lebih besar atau penjara tidak lebih enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Lelaki berusia 57 tahun ini yang dikesan mempunyai dua kesalahan lampau iaitu kes pecah rumah dan jual mercun secara haram ini direman sehingga esok sebelum disambung reman atau dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai memberi maklumat peniaga yang menjual rokok tanpa duti kastam di negeri ini.- SM

BACA Sindiket mercun, bunga api, minuman keras tumpas

BACA Cubaan seludup lebih 10 tan mercun, bunga api di sebalik muatan sabut kelapa tumpas

 

(Visited 294 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button